Tuanku Zara berkenan jalan kaki sempena Hari Tanpa Kenderaan

Tuanku Zara Salim (tengah) berkenan berjalan sejauh 3.4 kilometer sempena Hari Tanpa Kenderaan Ipoh di Jalan Raja Dihilir hari ini. - Foto Bernama
Tuanku Zara Salim (tengah) berkenan berjalan sejauh 3.4 kilometer sempena Hari Tanpa Kenderaan Ipoh di Jalan Raja Dihilir hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini berkenan berangkat ke program Karnival Ekstravaganza Percutian Persatuan Seni Pentas Perak (PSPA) 2019 dan Hari Tanpa Kenderaan Ipoh di Jalan Raja Di Hilir di sini.

Keberangkatan tiba Tuanku Zara pada jam 8 pagi diiringi isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pada program itu, Tuanku Zara turut berkenan berjalan kaki sejauh 3.4 kilometer melihat pameran-pameran yang disediakan selain beramah mesra dengan pengunjung.

Baginda turut meluangkan masa melihat persembahan tarian daripada ahli-ahli PSPA sebelum menyaksikan Dr Nomee Ashikin melepaskan belon sebagai tanda kejayaan projek ‘One Million Stars To End Violence’ di Malaysia.

Sejurus selepas itu, Tuanku Zara berkenan bersantap pagi di kediaman Menteri Besar Perak Darul Ridzuan di sini.

Selain pameran, program sempena cuti sekolah yang diadakan bermula jam 7.30 pagi sehingga 10 pagi itu turut menampilkan persembahan tarian, muzik dan nyanyian daripada ahli-ahli PSPA. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!