Gugur menteri prestasi tidak baik: Takiyuddin
KOTA BHARU – Sudah tiba masanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menilai kembali prestasi menteri dan menggugurkan mana-mana anggota Kabinet yang tidak menunjukkan prestasi baik.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, menteri yang tidak menunjukkan prestasi baik sewajarnya digugurkan kerana selama hampir dua tahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH), tiada satu pun perkara dilakukan mereka untuk membantu kesejahteraan rakyat.
“Selama dua tahun, tiada apa pun yang kelihatan terutamanya sesuatu yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.
"Mungkin yang ada ialah penerusan dasar dan projek-projek kerajaan dahulu, tapi yang kerajaan sekarang ini tidak ada,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian program Go Green di pekarangan Medan Ilmu di sini.
Beliau berkata, rakyat tidak menerima sebarang pembaharuan dan perubahan oleh kerajaan PH bagi menjamin kesejahteraan terutamanya membabitkan soal kos sara hidup, ekonomi dan sebagainya.
Dr Mahathir sebelum ini turut membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (APEC) tahun depan.
Kenyataan tersebut juga bagaikan peringatan kepada anggota Kabinet sedia ada untuk meningkatkan prestasi mereka dan sebagai langkah memulihkan kembali imej kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!