Negara perlu pemerintah cekap, stabil dan kuat: Tok Mat
SEREMBAN - Negara ini memerlukan pasukan pemerintah yang stabil, kuat dan cekap, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, sungguh malu apabila melihat kembali kerajaan hari ini (Pakatan Harapan) sering meminta masa untuk 'memperbaiki' negara.
"Ianya seakan-akan negara ini merupakan suatu eksperimen dalam tabung uji kaji yang boleh dibuang jika ia gagal dan tidak sempurna.
"Negara ini bukan suatu eksperimen sains, kita memerlukan pasukan pemerintah yang stabil, kuat dan cekap," katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban hari ini.
Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.
Mohamad berkata, justeru itu UMNO, BN, Pas dan rakan-rakan parti bersama mesti menjadi pelopor usaha besar-besaran rakyat negara ini untuk menolak PH.
"Ini kerana setelah 18 bulan menjadi kerajaan, PH telah menggagalkan negara ini dan rakyatnya secara sistematik.
"Mereka telah gagal dalam janji mereka, mengurus negara dan gagal melaksanakan pembaharuan yang mereka janjikan.
"Malah dalam kalangan mereka sendiri pun masih ada yang berbalah dan bercakaran.
"Sebuah pakatan yang tidak stabil, bakal memecahbelahkan rakyat dan meletakkan negara dalam situasi yang merbahaya serta tidak menentu," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menegaskan bahawa rakyat tidak mahu melihat negara ini musnah dan porak peranda akibat ketidakcekapan PH mentadbir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!