'Beri masa kepada PH tunai janji manifesto'- Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan PH juga perlu diberi tempoh masa yang sama seperti kerajaan terdahulu dalam menunaikan janji-janji kepada rakyat.
Menurutnya, kerajaan kini sedang berusaha dalam menunaikan janjinya secara berperingkat.
"Janji-janji PH, kita harus laksanakan tetapi kita perlu sikit masa supaya kita dapat capai semua yang dijanjikan.
"Kerajaan dahulu pun ambil masa lima tahun untuk cuba mencapai semua janji mereka. Begitu juga kerajaan sekarang, saya harap rakyat juga memberi masa yang sama kepada PH.
"Sekarang pun, kerajaan sedang berusaha untuk menunaikan janjinya. Apabila keadaan (ekonomi) sudah pulih, kita akan menambah program sedia ada untuk kebajikan rakyat. Namun semua bergantung kepada kemampuan kewangan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian semasa ditemui selepas melawat program bayaran akhir kepada warga emas, ibu tunggal dan ibu emas 2019 di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Taman Lucky di sini.
Menerusi pemberian itu, kira-kira 500 penerima yang berdaftar dan layak menerima sumbangan dalam program tahunan Kerajaan Pulau Pinang yang dianjurkan sejak 10 tahun lalu.
Guan Eng berkata, Pulau Pinang adalah contoh terbaik untuk melihat kemampuan PH dalam pembangunan selain menjaga kebajikan rakyat.
"Apa yang rakyat Pulau Pinang nikmati pada waktu ini, ia adalah usaha PH sejak 10 tahun lalu. Rakyat boleh bandingkan Pulau Pinang sekarang dengan 10 tahun lalu. Semua ini adalah usaha PH namun ia memerlukan masa untuk melaksanakannya.
"Pemberian wang kepada mereka yang memerlukan ini sudah lama kita lakukan, iaitu hasil wang kerajaan negeri yang tidak mementingkan kroni dan bebas rasuah.
"Sebelum ini, rakyat tidak dapat apa-apa kerana kerajaan negeri lebih mementingkan kroni. Hasilnya, rakyat tidak mendapat apa-apa," katanya.
Beliau berkata, satu program baharu iaitu e-dompet akan dilancarkan tahun hadapan yang mana, Kerajaan Pulau Pinang dalam proses merangkanya pada waktu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!