Kos RM200,000 tampung urus penempatan semula nelayan
PASIR PUTEH - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membelanjakan hampir RM200,000 setahun bagi menampung kos pengurusan golongan nelayan yang tinggal di kawasan penempatan semula nelayan di Tok Bali dekat sini.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia berpunca daripada masalah pemilikan rumah dan pendaftaran peserta yang masih belum selesai antara kerajaan negeri dengan LKIM.
"Saya juga telah terangkan kepada nelayan bahawa caj penyelenggaraan bulanan sebanyak RM20 yang kita kenakan itu adalah perkara biasa kepada mereka yang tinggal di kawasan penempatan semula ini.
"Walau bagaimanapun, kita masih menanggung defisit disebabkan oleh masalah ini yang merangkumi bayaran utiliti, cukai tanah dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Penduduk Perumahan Nelayan Tok Bali di sini hari ini.
Menurutnya, LKIM turut berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu lebih serius untuk menyelesaikan isu pemilikan rumah membabitkan 300 peserta yang mendiami kawasan itu kerana isu terbabit telah berlarutan sejak tujuh tahun lalu sehingga meresahkan para peserta.
"Perkara itu seharusnya diberikan keutamaan memandangkan ia melibatkan masa depan nelayan yang terdiri daripada kalangan miskin tegar.
"Kawasan ini merupakan projek penempatan semula tersusun yang menghimpunkan para nelayan dari seluruh Kelantan, seperti Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh," katanya.
Projek bernilai lebih RM35 juta siap sepenuhnya pada 2012 itu bertujuan membantu nelayan yang dikenal pasti miskin tegar di negeri ini memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!