Rumah PPR perlu diisi dalam tempoh enam bulan: Zuraida
TAWAU - Semua unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah perlu diisi dalam tempoh enam bulan selepas siap dibina, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengelak kerosakan terhadap rumah berkenaan jika dibiarkan tidak berpenghuni dalam tempoh yang lama.
"Jadi selepas ini, kita mahu masa dalam enam bulan, setiap rumah yang siap mesti diisi dan proses pemilihan (pemohon) kena buat lebih awal," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran kepada penyewa PPR Taman Sri Bukit Tawau, Jalan Merotai dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau mahu permohonan bagi unit PPR disemak secara teliti bagi mengelak orang yang tidak layak, mendapat manfaat skim perumahan itu.
“Kita dengar (misalnya) di Sabah juga banyak orang jual borang, sebab itu kita nak pastikan orang memohon itu, kita dapat pilih dengan baik," katanya.
Zuraida dalam pada itu turut menggalakkan pemaju swasta termasuk di Tawau agar bersama-sama kerajaan untuk membina rumah mampu milik menggunakan konsep ‘sewa untuk dimiliki’.
"Di Tawau, ada 10,000 pemohon yang memerlukan rumah sebab itu kita berharap pemaju swasta terlibat sama, dan boleh menggunakan konsep ‘sewa untuk dimiliki’ iaitu menjual unit PPR kepada penyewa yang mempunyai rekod baik pembayaran selepas lima tahun.
"Ini akan memudahkan penyewa yang mahu membeli rumah, yang tidak mampu untuk memberikan bukti dokumen gaji mereka, konsep ini memudah cara untuk mereka mendapat pinjaman bank selepas lima tahun mempunyai rekod pembayaran sewa yang baik,” katanya.
Katanya, kerajaan akan membina dua lagi projek PPR iaitu di Melalap dan Sandakan pada tahun hadapan.
Sementara itu, penantian 10 tahun memohon PPR di Tawau oleh Mad Bulansing Sulang, 59, yang cacat penglihatan, berakhir selepas menerima surat tawaran menduduki PPR Taman Sri Bukit Tawau itu hari ini.
"Saya pernah memohon PPR Taman Sri Titingan, PPR Sri Apas, serta PPR Semarak tetapi tidak layak," kata bapa kepada lapan anak berusia antara 13 hingga 27 tahun itu.
PPR yang mempunyai 470 unit rumah itu turut mempunyai kemudahan dewan, taman permainan dan lot kedai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!