Kerajaan Kelantan terima dengan terbuka
TUMPAT - Kerajaan Kelantan menerima dengan terbuka keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa hari ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, peletakan jawatan baginda itu harus dihormati dan diterima secara terbuka.
"Terpulang kepada baginda, itu haknya sebagai Sultan yang dipilih sebagai Agong.
"Saya sebagai Ketua Kerajaan akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan bahagian protokol untuk tindakan lanjut setelah rasminya baginda meletakkan jawatan," katanya ditemui media di Masjid Al-Hidayah Kampung Laut, malam tadi.
Sultan Muhammad V yang merupakan Sultan Kelantan ke-29 ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2016.
Baginda menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Kedah.
Ahmad berkata, dua hari lalu dia ada bertemu dengan Sultan Muhammad V dan solat Jumaat bersama namun baginda tidak menzahirkan apa-apa.
"Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara dengan baik sekali," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Agong letak jawatan]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!