Disney’s Frozen 2 lebih matang, menghiburkan
KEJAYAAN filem Disney’s Frozen pada 2013 yang mengutip lebih AS$1 bilion di seluruh dunia, telah mendorong Walt Disney Pictures menghasilkan sekuel filem berkenaan menerusi Disney’s Frozen 2, yang sudah pun menemui penonton di seluruh Malaysia sejak 21 November.
Masih mengekalkan Chris Buck dan Jennifer Lee selaku pengarah, filem kali ini turut mengekalkan suara bintang Hollywood, Idina Menzel sebagai Elsa, Kristen Bell (Anna), Jonathan Groff (Kristoff) dan Josh Gad (Olaf).
Perjalanan Disney’s Frozen 2 kali ini membawa penonton mengimbau kembali detik Elsa dan Anna ketika kecil, di mana bapa mereka, Raja Agnarr bercerita tentang sejarah kerajaan Arendelle dengan sebuah hutan magis yang cukup mempersonakan.
Bagaimanapun apabila dewasa, Elsa sering terdengar suara seolah-olah memanggilnya memecah misteri yang telah berlaku di hutan terbabit sehingga ia dilitupi kabus tebal. Bersama adiknya, Anna, ditemani rakan-rakan mereka Kristoff, Olaf dan Sven, mereka memulakan pengembaraan demi mencari kisah sebenar misteri kuno kerajaan Arendelle.
Pada pandangan penulis, Disney’s Frozen 2 akan merungkai beberapa persoalan daripada filem pertama seperti bagaimanakah Elsa mendapat kuasa magisnya dan ke manakah sebenarnya arah tuju pelayaran Raja Agnarr bersama isterinya, Permaisuri Iduna sehingga kapal mereka karam di lautan.
Pengembaraan dan jawapan yang dirungkai ini secara tidak langsung menjadi momen yang cukup menarik sepanjang filem ini ditayangkan. Ditambah pula dengan animasi yang cukup kemas dan mengagumkan, filem ini pasti akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang menonton. Begitu juga dengan lagu-lagu yang kali ini lebih rancak dan menghiburkan penonton.
Cuma secara peribadi penulis merasakan, Disney’s Frozen 2, agak berat untuk tontonan kanak-kanak, kecuali babak-babak melibatkan Olaf. Perjalanan filem kali ini lebih serius dan matang, seperti yang dipertontonkan pada trailer Disney’s Frozen 2 sebelum ini.
Mungkin kerana pihak produksi merasakan usia Elsa dan Anna sudah dewasa kerana perjalanan filem kali ini mengambil tempat tiga tahun selepas peristiwa daripada filem pertama.
Bagaimanapun bagi golongan dewasa, ia masih sebuah filem yang menghiburkan, segar dengan jalan cerita dan plot twist yang sememangnya tidak terjangka. Secara keseluruhan, Disney’s Frozen 2 masih sebuah filem yang menghiburkan untuk ditonton seisi keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!