Beri RM10,000 rai kejayaan anak dalam UPSR
ALOR SETAR - Pasangan suami isteri di sini sanggup menggunakan wang simpanan mereka dan bertungkus-lumus dalam perniagaan selama tiga bulan bagi menghadiahkan wang tunai RM10,000 kepada anaknya selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.
Nor Ashikin Ahmad Pauzai, 33, dan suami, Ihsan Fahmi Ishak, 43, menghadiahkan jambangan bunga yang digubah dengan wang tunai RM10,000 itu kepada anak ketiganya, Muhammad Danish Haziq yang memperoleh keputusan 5A dan 1B.
Nor Asyikin berkata, dia dan suami mengambil keputusan itu setelah menyaksikan sendiri kesungguhan anaknya fokus dalam pembelajaran sehingga sering dilihat tertidur ketika membaca buku.
Menurutnya, sebelum ini anaknya meminta untuk dibelikan model baharu telefon pintar jenama iPhone namun dia dan suaminya tidak bersetuju kerana khuatir akan lalai dengan pelajaran apabila masuk ke sekolah menengah.
“Danish ini seorang yang sangkat aktif bersukan menyebabkan dia terlalu sibuk sehingga leka dengan pelajarannya. Ketika itu saya minta dia belajar bersungguh-sungguh tiga bulan sebelum UPSR serta menjanjikan hadiah jika mendapat keputusan cemerlang.
“Disebabkan kami tidak bersetuju belikan IPhone, kami berjanji untuk memberikannya RM10,000 jika dia mendapat keputusan cemerlang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nor Ashikin dan suaminya yang merupakan pemilik sebuah kafe di sini berkata, dia tidak mengetahui dan tidak menyangka kisah mengenai gubahan RM10,000 itu tular di media sosial berikutan semua gambar itu diambil pemilik kedai tempahan bunga itu.
“Kami sebenarnya bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Saya dan suami menggunakan wang simpanan kami selain kami bertungkus-lumus berniaga bagi mencukupkan jumlah itu dalam masa tiga bulan.
“Bagi kami, ini sahaja yang mampu kami beri pada anak kami disebabkan kami pun banyak menghabiskan masa di kafe dan kurang meluangkan masa bersama anak-anak untuk memantau pembelajaran mereka.
“Alhamdulillah, walaupun Danish tidak mendapat 6A tapi itu sudah memuaskan hati kami dan lepas bagi gubahan bunga dekat dia terus dia ambil keputusan nak simpan duit itu dalam ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad),” katanya.
Sementara itu, Pemilik Rak Bunga Florist, Una Rushana berkata, ini merupakan kali pertama perniagaannya menerima tempahan gubahan RM10,000 bagi meraikan keputusan UPSR dan diberi masa empat jam sahaja untuk menyiapkan tempahan tersebut.
“Wang itu hanya dihantar pada 5 petang dan perlu menyiapkan gubahan itu sebelum makan malam bagi meraikan Danish bermula. Alhamdulillah, walaupun ia tempahan saat akhir namun kami berjaya menyiapkan gubahan wang tunai RM10,000 itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!