DAP Johor mohon ampun Sultan Johor
JOHOR BAHRU – DAP Johor hari ini merafak sembah dan memohon keampunan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar atas kenyataan tidak sopan seorang anggotanya yang juga Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohamad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah terhadap institusi Raja Berperlembagaan di laman Facebook, dua hari lepas.
Setiausahanya Tan Hong Pin berkata, parti itu memandang berat terhadap kenyataan tidak sopan yang disampaikan tersebut.
“Kenyataan yang dimuat naik oleh Saudara Mohamad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah menerusi akaun peribadi Facebooknya tersebut diungkapkan dengan bahasa yang tidak sopan dan tidak menggambarkan sifat seorang rakyat yang menghormati institusi Diraja.
“Sebagai ahli parti dan Ahli Majlis, beliau seharusnya mengutamakan budi bahasa dan bersikap sopan santun serta perlu menjaga tata tertib berbahasa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Tan berkata sungguhpun DAP teguh atas prinsip keluhuran Perlembagaan yang sekali gus memperjuangkan kebebasan bersuara, namun, prinsip dan perjuangan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melahirkan kenyataan tanpa rasa tanggungjawab.
Beliau berkata, sebarang kenyataan yang dilahirkan harus mengikut etika diplomasi yang tinggi dan berintegriti.
“Semalam, DAP Johor telah dimaklumkan bahawa Ahli Majlis berkenaan (Mohamad Kamarul Ariffin) telahpun memohon maaf di laman media sosial beliau dan memadamkan kenyataan yang tidak sopan tersebut.
“Sehubungan dengan itu, DAP Johor merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor khususnya dan seluruh rakyat amnya atas sikap tidak bertanggungjawab ahli kami yang berkelakuan tidak sopan terhadap institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.
Tan menambah sebagai sebuah parti yang menjadi anggota kerajaan, DAP sentiasa memantau tahap disiplin ahli-ahli dan wakil-wakil pimpinan di peringkat akar umbi semasa menjalankan khidmat mereka.
DAP mengulangi pendirian untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja Berperlembagaan di samping memelihara keharmonian masyarakat demi mensejahterakan rakyat secara keseluruhannya, katanya.
Terdahulu, Mohamad Kamarul Ariffin memuat naik kenyataan memperlekeh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Facebook miliknya, Jumaat lepas, sebelum dipadamkan.
Beliau kemudian memohon maaf kepada seluruh kerabat Diraja Johor menerusi laman sama, semalam, atas kenyataan yang dibuatnya.
"Patik mengaku bahawa kenyataan tersebut menggunakan susunan bahasa yang tidak sesuai dan melanggar norma Bangsa Johor yang terkenal dengan sikap sopan santunnya.
"Untuk makluman Ke Bawah Duli DYAM Tunku, sebenarnya niat patik menulis kenyataan tersebut adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menarik perhatian Ke Bawah Duli DYAM Tunku sendiri mengenai isu pertukaran status pemilikan Pulau Kukup, Pontian kepada status Tanah Kesultanan.
Tidak ada sekelumit pun niat di hati patik ingin menyinggung perasaan apatah lagi ingin menderhaka kepada Ke Bawah Duli DYAM Tunku serta seluruh kerabat Diraja Johor, yang amat disayangi rakyat jelata," katanya menerusi laman Facebook berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!