Bukti mental kami tak lemah: Rashford

Rashford meraikan jaringannya dalam aksi menentang Sheffield awal pagi tadi.
Rashford meraikan jaringannya dalam aksi menentang Sheffield awal pagi tadi.
A
A
A

PENYERANG Manchester United, Marcus Rashford mengakui kecewa gagal mencatatkan kemenangan selepas hanya meraih keputusan seri 3-3 ke atas Sheffield United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Namun, dari sisi positif dia tetap berbangga dengan kebangkitan yang berjaya dilakar The Red Devils selepas ketinggalan dua gol untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam aksi di Bramall Lane itu.

"Tiga gol adalah respons yang berjaya kami tunjukkan kepada lawan. Tetapi kami harus terus berusaha dan jika kami terus fokus dalam perlawanan itu, mungkin kami sudah mendapatkan kemenangan. Tapi jelas ini perlawanan sulit untuk kedua-dua pasukan.

"Kami berjaya mendahului 3-2 dan ramai berpendapat keputusan ini tidak adil. Tetapi kami sebelumnya berada dalam situasi sukar dan berjaya bangkit. Bagi saya ia bukti kami mempunyai kekuatan mental," katanya.

Dalam perlawanan itu, Sheffield terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol John Fleck pada minit ke-19 dan Lys Mousset (52) sebelum anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu bangkit dengan tiga gol dalam masa tujuh minit melalui Brandon Williams, Mason Greenwood dan Rashford.

Di saat kemenangan seakan memihak The Red Devils, penyerang Sheffield, Oliver McBurnie tampil menyamakan kedudukan di minit akhir perlawanan untuk mengikat kedudukan 3-3.

Dalam pada itu, Rashford menyifatkan separuh masa pertama buat pasukannya dalam perlawanan itu sebagai detik terburuk dengan persembahan serba tidak menjadi.

Bagaimanapun pemain berusia 22 tahun itu berkata, United cepat untuk mengatasi kelemahan tersebut dan membaiki persembahan sekali gus bangkit untuk mencetak tiga gol.

Artikel Berkaitan:

"Mereka bermain dengan menekan kami dan memaksa kami banyak bergerak. Di babak pertama kami tak cukup bagus, tapi kami mampu melihat kelemahan tersebut dan kembali dalam perlawanan tersebut.

"Sebelumnya ini pernah terjadi di Everton, tertinggal 2-0 dan kami kalah 4-0 (musim lalu). Kebangkitan dalam perlawanan Ini menunjukkan kami berkembang dan belajar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!