Boleh busking atau tak boleh?
KUALA TERENGGANU - Penangguhan sementara aktiviti hiburan di Terengganu sehingga penguatkuasaan garis panduan baharu dikeluarkan pada Januari depan nyata meresahkan lebih 30 pemuzik jalanan atau busker di daerah ini.
Muhd Syahid Saari, 38, berkata, sebagai busker yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti busking sebagai punca pendapatan, penangguhan itu membuatkan dia dan rakan-rakan tertanya-tanya akan nasib yang dialami.
Malah katanya, di Kuala Terengganu sahaja, ada kira-kira 10 kumpulan busking yang aktif dan menjadikannya sebagai sumber rezeki.
“Apabila keluar notis penangguhan yang disebarkan melalui media sosial, kami menjadi keliru kerana ia tidak jelas. Adakah kami juga terlibat sama? Jika terlibat sama, bagaimana kami nak mencari makan?
“Ramai kalangan kami yang sudah berkeluarga. Bila adanya penangguhan, adakah ia bermakna kami juga tidak boleh membuat persembahan? Kami tidak dapat penerangan langsung hanya mengetahuinya melalui Facebook,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Sebelum ini, tular notis penangguhan acara hiburan di Terengganu, yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bertarikh 17 November.
Seorang lagi busker, Ahmad Firdaus Abd Rashid, 30, berkata, pihaknya menyokong langkah kerajaan untuk mengkaji balik dan membuat garis panduan baharu bagi aktiviti hiburan namun ia juga perlu mengambil kira kepentingan semua pihak.
Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya pihak berkuasa tempatan mengadakan perjumpaan dan memberikan penerangan secara jelas kepada semua pihak terlebih dahulu bagi mengelakkan kekeliruan.
“Sekarang ini pun kami mengikut garis panduan seperti tidak boleh membuat persembahan lebih jam 12 malam, tidak mengganggu orang ramai dan orang perempuan tidak dibenarkan menyanyi.
“Cuma kita harapkan sementara garis panduan baharu, benarkan kami membuat persembahan dengan syarat menepati peraturan. Pada masa yang sama, garis panduan baharu yang nak dibuat itu mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri sedang menyediakan satu garis panduan baharu untuk hiburan di seluruh Terengganu dan akan dikuatkuasakan pada 1 Januari depan.
Katanya, sementara garis panduan itu keluar, pihaknya membekukan semua kelulusan program hiburan di seluruh Terengganu membabitkan aktiviti hiburan pentas di luar bangunan atau dewan.
“Bagi mereka yang menjalankan aktiviti busking, tiada masalah cuma perlu ikut garis panduan kita dan bermula tahun depan, mereka perlu ikut garis panduan baharu. Setakat ini, mereka masih boleh melakukan aktiviti berkenaan.
“Cuma ada aktiviti busking di Pasar Payang, mereka tidak mohon kebenaran dan tiada kelulusan. Ada aduan bising dan mengganggu pengunjung pasar dan sebagainya. Kita minta mereka buat permohonan supaya mereka diberikan garis panduan di mana boleh buat persembahan dan bagaimana caranya agar tidak mengganggu waktu solat dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!