Harga makanan restoran, warung terima aduan tertinggi
SUNGAI BESAR - Aduan mengenai kenaikan harga makanan di restoran dan warung paling banyak diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia membuktikan rakyat Malaysia yang makan di luar terpaksa membayar pada harga tinggi.
"Aduan berkenaan paling tinggi berbanding isu kepenggunaan lain," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Jeti 3,000 Sungai Besar di sini hari ini.
Ditanya berhubung kemungkinan berlaku kenaikan harga ikan pada musim tengkujuh ini, Saifuddin berkata, setakat ini tiada aduan ketara berhubung perkara itu.
"Soal harga merupakan aspek hakiki kementerian dan kita bertindak melalui dua cara iaitu melalui pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala," katanya.
Katanya, harga ikan juga bergantung kepada jarak bekalan dihantar selain jenis ikan yang didaratkan.
"Selain itu pemahaman kepada sistem bekalan membantu kita mengetahui harga akhir pengguna.
"Misalnya tangkapan mewah (terbanyak) ikan tongkol yang dijual di sini RM6 hingga RM7 sekilogram dan harga runcit pada harga RM9 hingga RM10 bergantung pada saiz dan kos pengangkutan dam sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!