Uji tahap siap siaga pasukan keselamatan hadapi krisis

Hamzah (dua dari kiri) berbual dengan Mohd Iqbal (kiri) selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Latih Amal Keganasan Ex-Rampas LIA 2019 hari ini. -FOTO: BERNAMA
Hamzah (dua dari kiri) berbual dengan Mohd Iqbal (kiri) selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Latih Amal Keganasan Ex-Rampas LIA 2019 hari ini. -FOTO: BERNAMA
A
A
A

LANGKAWI - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat julung kalinya mengadakan Latih Amal Keganasan Ex-Rampas Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) 2019 bermula hari ini hingga Jumaat.

Latih Amal Keganasan Ex-Rampas LIA 2019 itu melibatkan penyertaan kira-kira 500 peserta daripada 32 agensi kerajaan dan swasta bertujuan menguji keberkesanan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) MAHB selaku pengendali serta peneraju keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Pengarah Bahagian Perisikan dan Pengurusan Krisis Negara MKN, Hamzah Ishak berkata, latihan itu juga bertujuan menilai tahap siap siaga dan keupayaan agensi terlibat untuk melihat sejauh mana keberkesanan berkomunikasi antara satu sama lain dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) masing-masing semasa mengendalikan krisis.

"Menerusi Latih Amal Keganasan Ex-Rampas LIA 2019 ini kita juga akan menguji Arahan MKN No 18 iaitu mekanisme pengurusan krisis keganasan melibatkan MAHB, PDRM serta agensi lain dalam menilai siap siaga menghadapi sebarang krisis.

“Kita akan lihat juga peranan dan pelan tindakan oleh setiap agensi bagi menilai bagaimana pelan tersebut dalam bekerjasama mengurus krisis kecemasan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Latih Amal Keganasan Ex-Rampas LIA 2019 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Perancangan, Pembangunan, Standard dan Keselamatan MAHB, Zainol Mohd Isa, Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Aisten Komisioner Abdul Ghani Mohammad Ji, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim dan Pengurus MAHB Langkawi, Jefry Ramli.

Sementara itu Zainol berkata, menerusi Latih Amal Keganasan Ex-Rampas LIA 2019, sebarang masalah yang timbul dalam menguruskan krisis akan cuba diatasi.

"Program lima hari hingga Jumaat ini merangkumi beberapa aktiviti antaranya seminar pada hari pertama serta kedua, hari ketiga Table Top Exercise (TTX) dan seterusnya Full Scale Exercise pada hari keempat sebelum diakhiri dengan ‘post mortem’ pada hari kelima.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang berada di sekitar LIA diminta jangan panik semasa latihan diadakan kita akan kawal keadaan sekitar. Sebarang maklumat lanjut boleh disemak menerusi media sosial MAHB," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!