Perak perlu cari sumber pendapatan 'halal'
IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan Perak mencari sumber pendapatan 'halal' tanpa bergantung kepada lesen pusat hiburan dan lesen premis menjual minuman keras.
Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, Perak mempunyai sumber yang banyak untuk membantu menjana pendapatan kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan Perak seharusnya lebih kreatif dalam usaha mencari sumber pendapatan baharu untuk perbelanjaan mengurus dan membangunkan negeri.
"Kita ada banyak tanah dan seharusnya pelawa lebih banyak pelabur masuk menjalankan operasi mereka di sini, sekali gus kerajaan dapat pendapatan dalam jangka masa panjang.
"Takkanlah nak harapkan lesen pusat hiburan dan lesen kedai arak bantu tampung pendapatan kerajaan. Duit ini ke nak bayar gaji penjawat awam dan nak bangunkan negeri?" katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa pusat hiburan dan snuker di Perak dijangka bertambah tahun hadapan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Sidang DUN baru-baru ini menjelaskan peningkatan itu akan membawa kepada pertambahan anggaran hasil dari Fi Lesen Hiburan Billiard dan Lesen Kedai Minuman Keras yang diunjurkan pada tahun 2020.
ARTIKEL BERKAITAN: Pusat hiburan, snuker di Perak bertambah tahun depan
Sementara itu, Hamidah yang juga bekas Exco Kerajaan Perak berkata, kerajaan sebelum ini mengasingkan sumber pendapatan daripada hasil lesen premis menjual minuman keras untuk digunakan bagi tujuan lain.
Menurutnya, pendapatan daripada sumber-sumber yang syubhah itu perlu mendapat pandangan daripada alim ulama dan agamawan.
Jelasnya, pertambahan pusat hiburan di negeri ini bukanlah sesuatu yang baik untuk rakyat kerana ia akan mendatangkan kepada masalah sosial.
Tambahnya, masalah sosial khususnya dalam kalangan remaja sukar dibendung sekali gus memberikan kesan buruk kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!