Calon SPM, bapa maut dilanggar bas
KEPALA BATAS - Dua beranak maut selepas motosikal mereka terlibat kemalangan dengan bas Rapid Penang di Jalan Teluk Air Tawar di sini awal pagi tadi.
Muhammad Adam Shamsul Shahril, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Sementara bapanya, Syamsul Shahril Abd Rahman, 51, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Muhammad Adam yang membonceng motosikal bersama bapanya dari arah Bagan Ajam menghala ke Teluk Air Tawar.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa yang berada di lorong kiri telah mengubah haluan ke kanan lalu masuk ke laluan bas menyebabkan kenderaan tersebut gagal mengelak lalu melanggar belakang motosikal mangsa.
"Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya. Bedah siasat penunggang motosikal sedang dijalankan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas.
"Pemandu bas yang berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!