Himpunan 1,000 pacuan 4x4

Mega Jamboree 2019 sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 Disember ini

PENGARAH Tourism Malaysia Wilayah Utara, Ahmad Husni Ahmad Basri (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran Malaysia 4x4 Mega Jamboree 2019.
PENGARAH Tourism Malaysia Wilayah Utara, Ahmad Husni Ahmad Basri (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran Malaysia 4x4 Mega Jamboree 2019.
A
A
A

KIRA-KIRA 1,000 kenderaan pacuan empat roda (4x4) dari seluruh negara dan Thailand dijangka berhimpun pada bulan depan dalam program Malaysia 4x4 Mega Jamboree 2019. Ia sempena menyambut ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Program anjuran badan bukan kerajaan, Forward Kedah bersama Majlis Bandaraya Alor Setar itu akan diadakan di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah, bermula 20 hingga 22 Disember 2019.

Pengerusi Forward Kedah, Khairil Hanafi berkata, program itu bukan sahaja bertujuan mengumpulkan peminat dan pemilik kenderaan 4x4, tetapi dilihat berupaya menjadi platform menggalakkan aktiviti pelancongan di bandar raya berkenaan.

"Program ini bertemakan ‘Penyatuan Dalam Kepelbagaian’. Pelbagai aktiviti diadakan antaranya mencari harta karun, autoshow, urban trial challenge, autokhana dan aktiviti riadah untuk kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu oleh Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Ahmad Husni Ahmad Basri baru-baru ini.

Khairil berkata, pihaknya menganggarkan lebih 20,000 pengunjung akan menghadiri program tiga hari itu. Orang ramai berpeluang melawat ruang pameran yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan kenderaan.

Beberapa syarikat antaranya Toyo, Silverstone, Pertamina, Kinti, Radar Monsta, Rymax, Ultra Racing dan Auto Galeri akan menyertai pameran.

Orang ramai boleh melawat dan mendapatkan perkhidmatan seperti pemasangan audio, pemasangan rim dan aksesori kereta, katanya lagi.

Sementara itu, Ahmad Husni dalam ucapannya berkata, sukan permotoran dilihat semakin diminati dan berharap lebih ramai golongan belia dapat menganjurkan program sebegitu dengan penglibatan agensi dan jabatan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Perluaskan program seperti ini agar menjadi salah satu acara kerajaan negeri kerana kita ada dana pembangunan untuk bangunkan sukan permotoran ini dan juga promosi agar dapat menggalakkan kedatangan pelancong terutama sempena Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!