Australia cetus idea parkir lot kereta 'rumah' gelandangan
BRISBANE - Gelandangan bukanlah isu terpencil yang hanya menghimpit negara-negara membangun sahaja tetapi gelandangan merupakan isu universal yang turut dialami oleh negara maju.
Orang gelandangan secara umum bermaksud individu yang tiada perumahan sebenar, kekurangan keperluan asas dan peribadi serta hidup dan tidur di jalanan.
Timbul rasa belas dan simpati melihat terutama wanita, kanak-kanak dan orang tua bergelimpangan di kaki lima.
Menerusi sebuah badan amal iaitu Beddown di Brisbane, Australia, pihak ini sedang melaksanakan satu usaha untuk membantu golongan yang tiada tempat tinggal dengan menjadikan ruang parkir sebagai 'rumah' atau tempat tidur gelandangan.
Idea itu dicetuskan oleh Pengasas kebajikan itu, Norman McGillivray.
Beliau memberitahu, idea itu timbul ketika dia melalui parkir kereta yang kosong di Parking Secure, salah sebuah parkir terbesar di Australia.
"Kawasan itu kosong, jadi kami pilih lokasi ini dan mahukan gelandangan ada tempat tidur pada waktu malam. Keselamatan mereka diutamakan termasuk keselesaan," coretnya di Instagram miliknya.
Buat masa ini, Beddown ini hanya dijalankan di Brisbane, namun akan dilaksanakan di lokasi lain pada masa akan datang.
Gelandangan yang telah menggunakan perkhidmatan ini rata-rata merasa puas hati kerana disediakan tempat tidur yang selesa termasuk kemudahan tandas dan perubatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!