'Dengar bunyi kuat berterusan seperti letupan mercun'
KUALA SELANGOR - "Saya dengar bunyi letupan kuat berkali-kali seperti mercun tetapi bila keluar dari rumah saya nampak kepulan asap di belukar berhampiran," kata Norzaimah Bohari, 33.
Norzaimah antara penduduk yang tinggal di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa di sini yang dikejutkan dengan kebakaran dan letupan tong mengandungi bahan kimia di tapak pembuangan sampah haram awal pagi tagdi.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya, Mohd Shafiq Akmal Ramli, 38, serta seorang anaknya berusia 9 tahun sedang tidur di dalam rumah berkenaan.
"Bunyi letupan dari luar rumah terlalu kuat dan berterusan berulang kali hingga kami nampak api marak di kawasan belukar," katanya.
Katanya, beberapa jam selepas kebakaran itu, dia mula terhidu bau kimia dan berasa loya, pening kepala dan hampir muntah.
"Mungkin simptom yang saya alami disebabkan terhidu bau pencemaran akibat dibawa angin kuat pagi tadi," katanya.
Katanya, dia mengetahui terdapat pembuangan sisa kimia di kawasan itu pada minggu lalu.
"Saya sudah menjangkakan keadaan ini berlaku dan tak sangka bunyi letupan terlalu kuat dan kesan bau kimia dirasai sampai sekarang," katanya.
Malah, katanya, seorang adik iparnya, Nurul Husna Ramli, 34, mengalami sesak nafas dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong Karang pagi tadi.
"Adik ipar saya yang singgah di rumah ibunya pagi tadi tiba-tiba semput dan sehingga kini masih mendapatkan rawatan di hospital," katanya.
Seorang lagi penduduk, Norhana Shari, 41, berkata, dia ternampak kepulan api dari arah belukar kira-kira 400 meter daripada kediamannya.
Katanya, dia ketika itu terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan kuat dari arah belakang rumah.
"Saya nampak api menjulang tinggi dan berasa takut.
"Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan pemantauan berterusan dan menangani pencemaran ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga jam padam kebakaran 270 tong bahan kimia
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa hampir tiga jam bagi memadam kebakaran melibatkan longgokan 270 tong bahan kimia di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, tiada mangsa dilapor cedera dalam kejadian yang turut menyebabkan berlaku letupan bahan kimia itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!