Ponteng solat Jumaat dapat 'surat cinta’

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Awas kepada lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat sehingga tiga kali berturut-turut, anda mungkin akan dapat ‘surat cinta’ daripada penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya kini dalam proses untuk melantik penguatkuasa sukarelawan yang terdiri daripada golongan wanita untuk membuat pemantauan.

Menurutnya, penguatkuasa wanita ini akan bertindak memantau dan seterusnya tindakan susulan dengan menghantar surat akan dibuat sekiranya individu yang terlibat didapati tidak menunaikan kewajipannya.

“Dalam soal ini, JHEAT tidak akan sewenang-wenangnya menahan seseorang. Kita akan buat siasatan menyeluruh terlebih dahulu dan sekiranya kita dapati individu itu tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Hasil daripada pemantauan ini, kita akan hantar surat dan bagi nasihat tetapi jika mereka ini masih berdegil, kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Satiful berkata, pihaknya menjangkakan pelaksanaan itu akan dibuat bermula awal tahun depan dan pihaknya kini sudah selesai pelantikan penguat kuasa sukarelawan di Dungun dan Kemamam, dan akan disusuli ke daerah lain.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu menghukum sebaliknya mahu membantu dan rasa kasihan apabila mereka di soal di akhirat kelak selain ia adalah tanggungjawab.

“Tak kira 'lembut' atau tidak, asalkan orang lelaki kena pergi solat Jumaat. Jika mereka musafir, tidak jadi isu.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun mereka ini berada di rumah, 'lembut' atau tidak, asalkan lelaki anggota JHEAT boleh menahan mereka hasil aduan dan risikan dijalankan.

“Ini bukan macam isu tidak puasa yang makan di tempat awam. Kalau orang lelaki berada di rumah waktu solat Jumaat, itu bermaksud mereka tak pergi solat dan mereka boleh ditahan mengikut peruntukan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Pindaan 2016,” katanya.

Operasi Ponteng Solat Jumaat yang dilaksanakan JHEAT dalam tempoh dua bulan bermula Julai lalu berjaya menahan hampir 30 lelaki dalam operasi berasingan di sekitar negeri ini.

Seorang lelaki telah didenda RM2,600 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu kerana tidak menunaikan solat Jumaat pada April lalu, manakala empat lagi mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang had umur minimum berkahwin bagi orang Islam di Terengganu, Satiful Bahri berkata, ia masih kekal pada umur 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

“Perkahwinan bawah umur di Terengganu hanyalah kes terpencil dan kita masih mengekalkan (enakmen) yang sedia ada. Enakmen berkaitan perkahwinan adalah bidang kuasa syariah yang diletakkan di bawah pejabat agama negeri masing-masing,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!