Penilaian semula sebagai negara maritim

Mohamad Sabu (tiga, kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (dua, kanan) pada majlis 'Defending a Maritime Nation: Whither MAF Joint Force' hari ini. -Foto Bernama
Mohamad Sabu (tiga, kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (dua, kanan) pada majlis 'Defending a Maritime Nation: Whither MAF Joint Force' hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penilaian semula Malaysia sebagai negara maritim perlu dilaksana secara menyeluruh.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, perkara itu bukan sahaja disebabkan oleh faktor perubahan ekonomi dan politik serantau tetapi disebabkan peningkatan ancaman keselamatan dari arah perairan negara.

“Cabaran Malaysia sebagai sebuah negara maritim masih perlu dibincangkan secara mendalam,” katanya pada ucaptama Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) 2019, Mempertahan Negara Maritim: Masa Depan Operasi Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.

Beliau berkata, idea Malaysia sebagai sebuah negara maritim diperkukuh sejak Rancangan Malaysia Keempat apabila kerajaan menzahirkan hasrat untuk mencapai status negara maritim.

Keupayaan Malaysia sebagai negara maritim didorong pelbagai faktor seperti kedudukan geografi dan keadaan fizikal negara ini yang terletak di laluan perdagangan antarabangsa di antara India dan China serta timur dan barat, katanya.

Mohamad berkata, namun kesemua faktor itu belum mencukupi untuk secara automatik mendefinisikan sebuah negara itu sebagai negara maritim.

“Malaysia yang sememangnya mempunyai segala kelebihan dari segi kedudukan strategik di tengah laluan perkapalan dunia dan kaya dengan sumber laut masih perlu mempergiatkan usaha untuk memanfaatkan sumber itu secara optimum dan mampan bagi melayakkan diri untuk digelar sebagai sebuah negara maritim yang sebenar,” katanya.

Sementara itu Mohamad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan penjaga keamanan dan keselamatan negara serta berperanan dalam memastikan kedaulatan negara dilindungi agar pembangunan sosio ekonomi dapat dilaksana tanpa sebarang gangguan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lautan negara seluas 569,845 kilometer persegi dengan garisan pantai sepanjang 6,037 kilometer itu merupakan sumber ekonomi yang tidak boleh dinafikan kepentingannya.

ATM katanya, perlu membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap strategi pertahanannya bagi memenuhi keperluan untuk mengatasi cabaran semasa dan masa hadapan.

“Ini bagi memastikan ATM akan terus relevan dalam memainkan peranannya untuk menjaga kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!