'Belanjawan Negeri Sembilan baik tapi perlu hati-hati'
SEREMBAN - Wakil rakyat pembangkang menyifatkan Belanjawan Negeri Sembilan 2020 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, Jumaat lalu merupakan belanjawan yang baik.
Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun kerajaan negeri perlu berhati-hati memandangkan kebanyakan pendapatan yang disasar pada tahun depan berjumlah RM242 juta daripada RM457 juta adalah daripada hasil tidak tetap yang didorong oleh pembangunan di negeri ini.
"Hasil cukai (yang disasarkan) RM152 juta, ini adalah satu angka baik memandangkan pungutan cukai dilakukan di setiap daerah menunjukkan prestasi baik.
"Keduanya, hasil bukan cukai RM242 juta adalah satu angka yang besar. Sekiranya dapat pungut, Alhamdulillah.. tapi kita risau gagal pungut disebabkan ketidaktentuan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2020) 2019 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad (BN-Rantau) menegaskan bahawa kerajaan negeri pada masa ini harus menumpukan kepada menangani isu kos sara hidup yang dihadapi terutamanya golongan kurang berkemampuan.
"Kerajaan negeri boleh mengambil peluang sedia ada untuk menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Sembilan dalam usaha meningkatkan lagi pendapatan negeri.
"Produk keluaran China tidak lagi semurah atau baik seperti sebelum ini dan ia menyebabkan ramai pelabur beralih ke tempat baharu seperti Vietnam dan Indonesia.
"Maka kerajaan negeri boleh gunakan peluang ini untuk tarik mereka (pelabur) untuk melabur di sini," katanya.
Menurutnya, negeri ini mempunyai infrastruktur berkelas tinggi selain terletak berhampiran dengan Kuala Lumpur.
"Pujuk mereka (pelabur) melabur di negeri ini. Selain dekat dengan Kuala Lumpur, kita ada projek pembangunan seperti Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) sekali gus boleh meningkatkan pendapatan negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!