Australia siasat 'operasi politik'
CANBERRA - Australia sedang menyiasat tentang komplot China yang didakwa cuba menyusup masuk 'perisik' ke dalam Parlimen Persekutuan negara itu dengan menjadikan seorang ahli perniagaan sebagai sasaran dalam 'operasi politik' itu.
Semalam, program rangkaian Nine, 60 Minutes mendedahkan suspek tersebut dikenal pasti sebagai Bo 'Nick' Zhao telah ditawarkan A$1 juta (RM4.1 juta) untuk bertanding sebagai calon untuk kerusi Persekutuan di Melbourne.
Ahli perniagaan kereta mewah berusia 32 tahun tersebut dilaporkan mendedahkan perkara itu kepada Pertubuhan Risikan Keselamatan Australia (ASIO) pada tahun lalu sebelum dia ditemukan mati di sebuah bilik motel pada Mac lalu.
Dalam satu kenyataan, Ketua ASIO, Mike Burgess berkata, agensi terbabit menyedari tentang perkara itu dan telah melancarkan siasatan.
Beliau juga enggan memberikan sebarang komen tentang kematian Zhao memandangkan polis juga masih tidak dapat menentukan bagaimana kejadian itu berlaku.
"Aktiviti risikan asing terus memberi ancaman yang nyata kepada keselamatan negara kita. Ia bukan sekadar ganjaran wang tunai, namun ia adalah cubaan untuk menjadikannya agen pengaruh asing dalam sistem demokrasi di Australia. Kita perlu prihatin tentang perkara ini," kata Ketua Jawatankuasa Risikan Parlimen, Andrew Hastie.
Perkara itu didedahkan beberapa hari selepas perisik China dilaporkan memberikan identiti pegawai risikan tentera dan butiran operasi mereka di Hong Kong, Taiwan dan Australia.
Beijing bagaimanapun mendakwa Wang 'William' Liqiang yang berpaling tadah kepada China sebagai penipu yang menganggur selepas dia dikatakan memohon suaka politik di Canberra. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!