'ADUN Pilah ada di Wisma Negeri tapi tidak sihat'

Kelihatan kenderaan Exco terbabit di Wisma Negeri yang tular di media sosial.
Kelihatan kenderaan Exco terbabit di Wisma Negeri yang tular di media sosial.
A
A
A

SEREMBAN - Tanda tanya mengenai Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Mohamad Nazaruddin Sabtu yang dilihat tidak keluar daripada kenderaannya di Wisma Negeri di sini akhirnya terjawab selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi penjelasan.

Aminuddin berkata, Mohamad Nazaruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah tidak dapat hadir Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke- 14 hari ini disebabkan tidak sihat.

Beliau berkata, Nazaruddin berada di Wisma Negeri pagi tadi namun terpaksa berehat susulan mengalami masalah kesihatan.

"Benar dia (Nazaruddin) ada di sini (Wisma Negeri) pagi tadi tetapi dia tidak sihat. Jadi kita tak halang untuk dia tak datang, jadi apa masalahnya?

"Lagipun tiada soalan lisan yang berkaitan portfolionya hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tular kenderaan Exco tersebut berada di pekarangan Wisma Negeri pagi tadi namun dilihat tidak keluar daripada kenderaan.

Isu ketidakhadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah itu juga hangat diperkatakan dalam kalangan netizen di media sosial.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai desakan pihak tertentu supaya Nazaruddin melepaskan jawatannya sebagai Exco dan ADUN Pilah Aminuddin berkata, tindakan itu adalah tidak wajar.

Artikel Berkaitan:

"Dia cuma tak sihat, ramai juga orang yang bekerja dalam kerajaan tak sihat, takkan nak hentikan seseorang itu dengan alasan ini.

"Namun begitu, kerja-kerja berkaitan portfolionya (Nazaruddin) masih berjalan seperti biasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!