Singapura pertama kali guna undang-undang berita palsu
SINGAPURA - Singapura hari ini menggunapakai undang-undang untuk memerangi berita palsu buat pertama kali yang menyaksikan seorang anggota parti pembangkang memperbetulkan kenyataannya di Facebook kerana didakwa boleh mencemarkan reputasi dana pelaburan negara.
Brad Bowyer daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP) diarahkan untuk membetulkan kenyataan beliau yang dimuat naik pada 13 November lalu yang mempersoalkan tentang kebebasan membuat keputusan oleh syarikat dana pelaburan GIC dan Temasek Holdings.
"Kementerian Kewangan (MOF) telah mengarahkan Pejabat Perlindungan dan Manipulasi Berita Tidak Benar Atas Talian (POFMA) membuat notis pembetulan pada kenyataan tersebut," menurut Pejabat POFMA dalam satu kenyataan.
Laman pemeriksa fakta kerajaan turut menjelaskan kerajaan tidak mengawal atau mempengaruhi langsung keputusan komersial dana pelaburan yang dibuat oleh Temasek dan GIC.
Kenyataan itu diterbitkan bersama tangkapan skrin kenyataan asal bekas anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu yang dicop perkataan 'palsu'.
Bowyer yang merupakan rakyat Singapura berasal dari Britain akur dengan arahan itu da membuat notis pembetulan yang turut disertakan pautan laman kerajaan untuk fakta yang betul.
Undang-undang itu yang berkuatkuasa pada bulan lalu memberi kuasa kepada menteri kerajaan untuk memberi amaran kepada media sosial terhadap kenyataan yang dianggap sebagai palsu dan kes melampau yang kemudiannya akan dipadamkan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!