Daya saing profesor
Salahkan Menteri Pendidikan lagi? Keupayaan seorang menteri amat terbatas. ALLAH SWT tidak akan mengubah satu kaum selagi kaum itu tidak mengubah dirinya. Yup, isu pendidikan adalah masalah kolektif, bukan masalah individu.
Saya sudah mengajar lebih 20 tahun. Apa yang saya lihat ialah masalah para profesor yang kronik walaupun bukan semua. Rakyat biasanya menyalahkan ahli politik kerana rakyatlah yang mengundi ahli politik secara terus-menerus. Maka rakyat rasa menteri terhutang budi dengannya.
Rakyat tidak menentukan periuk nasi seorang profesor. Maka, rakyat tidak rasa para profesor terhutang budi dengannya. Maka majlis profesor terlepas daripada kritikan rakyat jika sistem pendidikan tidak berjalan lancar. Rakyat biasanya ambil jalan mudah dengan melepaskan geramnya pada Menteri Pendidikan kerana periuk nasi menteri bergantung pada undinya. Status profesor tidak memerlukan undi rakyat.
Akibatnya status profesor menjadi kebal seolah-olah profesor menjadi maksum daripada sebarang ancaman. Profesor tidak memerlukan rakyat untuk terus menjadi profesor tetapi menteri memerlukan rakyat untuk terus menyokongnya menjadi YB.
Status profesor adalah kekal abadi seolah-olah ia bersifat qidam! Menteri sendiri tidak boleh gugat status profesor. Tetapi status menteri adalah bersifat fana. Bila-bila masa menteri boleh kembali menjadi rakyat biasa. Tetapi seorang profesor tidak akan kembali menjadi rakyat biasa. Dia rasa selamat dalam zon sebagai profesor.
Maka saya melihat ramai pensyarah yang mulanya mempunyai harapan yang tinggi tetapi setelah menjadi profesor, dia menjadi malas untuk berfikir jauh. Kita lihat jelas sekali dalam kalangan profesor dalam bidang pendidikan.
Taksonomi Bloom masih di gunakan sampai sekarang. Bahkan ia direcycle menjadi versi kedua. Ia direcycle menjadi ‘Islamik’. Benjamin Bloom adalah mastermind sistem pendidikan Israel dan Barat. Pelajar-pelajar dinilai berdasarkan suatu taksonomi yang mengklasifikasikan pemikiran kepada aras rendah dan aras tinggi.
Gagal
Saya telah kritik Bloom pada artikel saya yang lepas. Di sini saya hanya ajak pembaca untuk tanya soalan ini: Mengapakah para profesor pendidikan kita tidak cukup cerdik dan berilmu untuk menginovasikan satu taksonomi lokal yang baharu? Cuba tanya soalan ini kepada mereka yang selalu menyalahkan pelajar kerana tidak berfikir kritis dan kreatif.
Bagi saya, punca utama universiti di Malaysia gagal menyemarakkan budaya kritis kreatif ialah kerana para profesor sendiri gagal menunjukkan uswah hasanah! Kalau sendiri tidak mampu berjalan betul, bagaimana dengan anak muridnya?
Pelajar lebih banyak belajar melalui inspirasi iaitu melalui contoh yang hidup dalam diri profesor, bukan melalui syarahannya. Rakyat sepatutnya tanya profesor pendidikan soalan ini: Bilakah mereka mampu bersaing dengan pemikir Zionis?
Daya saing para profesor sangat lemah. Mereka tidak mampu bersaing dengan pemikir Barat dan Zionis. Buku teks dalam bidang mereka kebanyakannya hanyalah copy paste atau sedutan-sedutan daripada pemikir Barat.
Pelajar-pelajar pula tidak berani lawan ‘fatwa’ seorang profesor yang mereka anggap maksum dalam ilmu, ‘pakar’ yang tidak akan salah. Akhirnya pelajar-pelajar sendiri terikut dengan sikap tidak inovatif para profesor.
Besar mungkin pembaca akan rasa tidak selesa dengan kritikan saya tetapi cuba buat soal selidik sendiri. Tanya para profesor pendidikan tentang adakah mereka mampu bersaing dengan Zionis dengan mencipta taksonomi inovatif sendiri?
Tanya profesor sains politik adakah mereka berjaya mencipta teori dan falsafah politik sendiri untuk bersaing dengan falsafah sosialisme dan liberalisme?
Tanya mana-mana universiti yang berlabelkan ‘Islam’ tentang berapa ulama global yang mereka berjaya lahirkan? Cuba bersaing dengan universiti Barat yang berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuwan orientalis dan ilmuwan Muslimin sendiri.
Usah salahkan menteri semuanya. Apa peranan majlis profesor dalam membina sistem dan budaya pendidikan?
Adakah profesor hanya mampu menjadi konsumer kepada produk ilmiah Zionis Barat seperti budak sekolah menjadi konsumer muzik korea?
* Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!