Relevankah penjara swasta?
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, baru-baru ini menyatakan bahawa Kerajaan sedia mempertimbang untuk mewujudkan penjara swasta bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara seluruh Malaysia. Sebagai pengamal undang-undang, saya melihat cadangan ini sebagai satu cadangan yang tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.
Biarpun alasannya adalah kerana mahu mengatasi masalah lambakan banduan di penjara, alasan ini masih belum cukup bagus untuk membuka laluan kepada pelaksanaan penjara swasta di negara ini.
Sistem penjara swasta bukanlah suatu sistem yang asing di dunia hari ini. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia sudah lama melaksanakan sistem penjara swasta. Kononnya sistem penjara swasta akan memberikan lebih keselesaan kepada banduan berbanding sistem penjara yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Banyak aspek yang perlu diteliti dalam melaksanakan sistem penjara swasta ini termasuklah siapa yang akan menanggung kos-kos berkenaan penjara swasta ini. Adakah pihak kerajaan yang menanggung penjara swasta ini? Tidak akan pula banduan atau keluarga banduan sendiri yang perlu menanggung kos penjara swasta ini?
Amalinya, pengurusan penjara swasta di negara lain biasanya akan mengenakan caj atau kadar secara harian atau bulanan mengikut setiap banduan, atau mengikut fasiliti penjara yang diwujudkan tidak kira sama ada dihuni oleh banduan atau tidak kerajaan tetap perlu membayarnya.
Konsep penjara swasta adalah konsep ‘penjara untuk keuntungan’ (for-profit prison). Dalam erti kata lain, pemilik penjara membuka penjara atas dasar keuntungan, berbanding dengan sistem penjara sedia ada di negara kita hari ini yang dibina dan diuruskan tanpa tujuan keuntungan.
Daripada pihak kerajaan bercita-cita mahu melaksanakan sistem penjara swasta, adalah lebih baik jika kerajaan mengkaji bagaimana hendak mengurangkan jumlah banduan dalam penjara di negara ini.
Cuba kita lihat negara seperti Belanda yang telah menutup begitu banyak penjaranya kerana kekurangan banduan untuk dihuni. Sistem hukuman di Belanda telah ditambah baik sehinggakan kadar banduan di Belanda telah berkurangan dengan begitu drastik. Malahan, dalam situasi tertentu, Belanda pula terpaksa ‘mengimport’ banduan-banduan dari negara-negara jiran kerana banyak cawangan penjaranya yang kekurangan banduan.
Telah banyak dilaporkan, apabila sesebuah negara itu mengamalkan sistem penjara swasta, jumlah banduan akan semakin bertambah dan bukannya berkurangan seperti di New Zealand apabila dilaporkan jumlah banduan mereka semakin bertambah setiap tahun, ini bukanlah sesuatu yang bagus dalam jangka masa panjang.
Adalah lebih baik jika kerajaan memberikan lebih fokus kepada didikan dalam penjara. Harus kita lihat bagaimana negara-negara luar seperi Belanda berjaya membuatkan para banduannya tidak kembali ke penjara selepas tamat hukuman. Ini semua bermula dengan sistem didikan dalam penjara yang berjaya ‘mengasuh’ para banduan agar insaf dan kembali menyumbang kepada masyarakat.
Kerajaan perlu melihat bagaimana untuk menggalakkan para banduan untuk membaca ketika dalam penjara dengan memberikan insentif tertentu kepada mereka. Sebagai contoh, di Brazil, jika banduan berjaya membaca sejumlah buku dalam tempoh setahun, mereka akan mendapat diskaun daripada tempoh hukuman mereka. Semakin banyak buku yang mereka baca, semakin singkat tempoh mereka tinggal di dalam penjara tersebut.
Bayangkan jika perkara ini dilaksanakan di Malaysia, sudah tentu ini akan memberikan impak yang lebih baik kepada banduan, terutamanya selepas mereka keluar daripada penjara kelak.
Begitu juga dengan menggalakkan para banduan untuk menyambung pelajaran ketika masih dalam penjara. Benar, memang ada banduan di Malaysia yang berjaya mendapat kelulusan ijazah ketika dalam penjara, namun jumlahnya masih terlalu rendah. Insentif seperti diskaun kepada hukuman mereka perlu diberikan agar dapat memberikan motivasi kepada para banduan dalam membaiki diri mereka.
Kerajaan sebenarnya masih gagal untuk melihat isu tunjang kepada masalah lambakan banduan di negara ini, sebaliknya masih mencari penyelesaian kepada isu dangkal mengenai lambakan banduan iaitu dengan cara menambah lebih banyak penjara. Dan kali ini, dengan cadangan untuk membuka penjara swasta. Allahu!
* Haeme Hashim ialah peguam dari firma Haeme Hashim & Co
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!