Kejuaraan Piala Agong hadiah untuk rakyat Terengganu

No Image Caption
A
A
A

SKUAD ragbi Terengganu mendedikasikan kejuaraan Piala Agong yang dimenangi kepada seluruh rakyat negeri itu selepas menewaskan penyandang juara Sabah 26-24 pada aksi final di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Pengurus skuad ragbi Terengganu, Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab mengakui kemenangan bersejarah itu tidak akan dicapai tanpa komitmen pemain, jurulatih, pengurusan dan sokongan padu rakyat negeri berkenaan.

“Alhamdulillah semuanya rezeki ALLAH SWT selepas tujuh tahun kami mencuba pada pertandingan ragbi Piala Agong.

“Ini kali ketiga Terengganu layak ke final dalam tempoh tujuh tahun. Sebelum ini pada 2014 kami tewas kepada Sabah, 2017 kami tewas kepada Johor dan tahun ini kami berjaya melunaskan dendam dengan menewaskan Sabah,” katanya.

Pada masa sama Che Mohd Zulkarnain mendedikasikan kemenangan itu kepada penaung Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan kerajaan Terengganu yang sentiasa memberi sokongan padu kepada kemajuan skuad ragbi negeri berkenaan.

Mengulas lanjut Che Mohd Zulkarnain juga memuji karakter dipamerkan pemain-pemain Terengganu yang tidak memandang rendah keupayaan Sabah bimbingan Bradley Moni Mika itu selain mengikuti setiap arahan jurulatih, Izaimi Zainuddin sepanjang kejohanan itu.

Menurutnya, semangat kerjasama berpasukan dalam kalangan pemain-pemain juga menjadi tunjang kekuatan pasukan berkenaan pada kali ini.

“Kami sudah membentuk keserasian sekian lama, ada dalam kalangan pemain-pemain sudah bersama sampai lima tahun.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu kami memanfaatkan sepenuhnya tempoh empat rehat sebelum peringkat kalah mati bagi memperbaiki kelemahan pasukan pada peringkat kumpulan sebelum ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!