Tambak laut lenyapkan kampung warisan
GEGORGETOWN - Tambakan laut bukan sekadar menjejaskan pendapatan nelayan dan memusnahkan ekosistem malah lebih menyedihkan ia turut melenyapkan perkampungan warisan nelayan atas air di Jelutong.
Pengerusi Persatuan Nelayan Jelutong, Badrul Hisham Hashim berkata, Jelutong suatu ketika dahulu merupakan satu kawasan penempatan nelayan yang besar dan mula wujud dengan adanya rumah atas air yang unik selepas ia dibuka seorang nakhoda kapal.
Bagaimanapun, katanya, ia kini menjadi sejarah pahit apabila perkampungan tradisional nelayan itu musnah kerana digantikan dengan tambakan sebelum didirikan rumah flat. Yang tinggal sekarang hanyalah sebuah jeti nelayan yang sangat daif.
Menurut Badrul Hisham, 51, tapak pembuangan sampah hanya terletak bersebelahan jeti nelayan Jelutong dan akibat adanya tapak itu kawasan laut turut tercemar kerana sampah yang dibuang tidak hancur dan ada sisa plastik yang melekat dengan butiran pasir menyebabkan wujudnya pasir plastik yang tidak lupus.
“Kesan tambakan untuk buat tapak pelupusan sampah itu dapat tengok sekarang. Asalnya ia adalah laut dan menjadi darat dan lama kelamaan ia jadi bukit apabila banyak sampah dibuang di situ.
“Saya kesal kerana projek yang dijalankan tak ada kajian dibuat sebelum laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dikeluarkan. Kebanyakan nelayan dan orang kampung diberi taklimat kononnya projek yang dibuat untuk kebaikan, tapi tengok kesan yang kami tanggung sekarang,” katanya.
Badrul Hisham meminta pihak berkuasa mewujudkan semula penempatan nelayan Jelutong di kawasan itu dan berusaha agar penempatan itu diwartakan sebagai kampung warisan nelayan atas air di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memelihara nilai sejarah dan estetika kawasan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!