Tiga beradik yatim terpinggir akibat kanser kulit

Zainab (dua dari kanan) bersama tiga anaknya yang mempunyai penyakit kanser kulit.
Zainab (dua dari kanan) bersama tiga anaknya yang mempunyai penyakit kanser kulit.
A
A
A

PASIR PUTEH - [VIDEO] Tiga beradik yatim di Kampung Padang Pak Amat di sini hanya mampu terkurung di dalam rumah selepas menghidap kanser kulit sejak usia mereka menginjak belasan tahun.

Penyakit kulit dialami mereka itu menyebabkan seluruh badan dan wajah Muhammad Farhan Naim, 31, Muhammad Furizad, 29, serta Siti Sarah, 26, ditumbuhi benjolan sehingga mereka berasa terpinggir.

Sungguhpun begitu, Zainab Awang Draman, 59, yang merupakan ibu tunggal tetap tenang dengan ujian itu sebaliknya rasa kasih dan sayang terhadap tiga anaknya tidak luntur malah bersemangat menunaikan amanah menjaga permata hati tersebut.

"Kesemua anak saya lahir normal dan membesar seperti kanak-kanak yang lain tetapi apabila memasuki usia belasan tahun mereka mulai ditumbuhi benjolan pada tubuh badan.

"Kemudian tahun berganti tahun mereka juga mengalami masalah saraf sehingga menyebabkan Muhammad Furizad kini hanya mampu terlantar di atas katil sejak lapan bulan yang lalu.

"Muhammad Farhan pula berkerusi roda sejak lima tahun lalu dan Siti Sarah mengalami penyakit paru-paru berair," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pak Amat di sini semalam.

Zainab (kiri) menunjukkan benjolan yang ada ditubuh Muhammad Farhan.
Zainab (kiri) menunjukkan benjolan yang ada ditubuh Muhammad Farhan.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, ketiga-tiga beradik itu kini bergantung sepenuhnya kepada dirinya untuk menguruskan kehidupan harian.

Katanya lagi, jika sebelum ini dia mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara keluarga namun selepas ketiga-tiga anaknya itu tidak mampu berdikari menyebabkan dia sukar untuk bekerja.

Zainab berkata, dia pernah cuba menjual makanan dan minuman di hadapan rumah namun tidak mendapat sambutan kerana orang ramai jijik untuk membelinya.

"Mungkin mereka rasa jijik melihat keadaan anak-anak saya.

"Saya tidak boleh tinggalkan mereka kerana mereka perlukan saya untuk makan, ke tandas dan bergerak," katanya.

Dia berkata, mereka kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 yang diterima oleh Muhammad Farhan serta sumbangan dari ahli keluarga dan sahabat handal.

Zainab berkata, setiap bulan dia memerlukan perbelanjaan sekitar RM1,000 untuk makanan, lampin pakai buang dan kos ulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Katanya, rumah usang yang didiami kini adalah peninggalan suaminya yang meninggal dunia 20 tahun lalu.

Menurutnya, dia pernah kehabisan wang ketika dua anaknya dimasukkan ke HUSM selama 31 hari sehingga menyebabkan mereka bergantung kepada makanan hospital semata-mata.

"Semua ini saya dan anak-anak lalui dengan tabah kerana ini semua ujian buat kami," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Zainab Awang Draman, Bank Simpanan Nasional (BSN) 03100-29-83414106-3.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!