Maszlee perlu kekal untuk teruskan reformasi KPM: NCUA

 Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Canselor Universiti Awam (NCUA) mahu Dr Maszlee Malik kekal sebagai Menteri Pendidikan supaya reformasi Kementerian Pendidikan (KPM) terus berjalan dan mencapai hasil yang diharapkan.

Melalui kenyataan media NCUA menegaskan yakin pendidikan di negara ini sedang menuju ke arah kecemerlangan yang lebih berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa di bawah kepimpinan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan.

“NCUA menyokong agar Dr Maszlee terus menerajui Kementerian Pendidikan. Kami amat yakin bahawa beliau telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai Menteri Pendidikan sejak dilantik ke jawatan tersebut.

“Kami melihat sendiri cetusan idea, transformasi dan inovasi yang sudah Dr Maszlee lakukan bersama-sama warga KPM sama ada di peringkat pendidikan rendah dan menengah lebih-lebih lagi di peringkat pengajian tinggi seperti universiti, kolej universiti, politeknik dan institusi-institusi yang lain yang duduk di bawah KPM,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan media NCUA itu dikeluarkan bagi mengulas undian dalam talian yang dikendalikan sebuah portal berhubung menteri Kabinet mana perlu digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan rombakan Kabinet, Jumaat lalu.

Portal berkenaan meletakkan nama Maszlee sebagai menteri yang meraih undian tertinggi untuk digugurkan.

Semalam, 18 Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui kenyataan bersama percaya undian berkenaan bertujuan menjatuhkan kredibiliti menteri itu dan berniat jahat.

Melalui kenyataan bersama itu, mereka turut menyatakan sokongan penuh terhadap Maszlee dan berharap undian dan tulisan yang cuba menjejaskan kredibiliti Maszlee tidak akan mempengaruhi apa-apa keputusan Perdana Menteri seandainya rombakan kabinet dibuat pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Undian gugurkan Dr Maszlee daripada Kabinet berniat jahat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!