DAP minta maaf ketelanjuran ahli

Tan Hong Pin
Tan Hong Pin
A
A
A

JOHOR BAHRU - DAP Johor memandang berat kenyataan tidak sopan disampaikan seorang ahlinya yang juga Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah menerusi Facebook pada 4 Januari lalu.

Setiausahanya, Tan Hong Pin berkata, kenyataan dimuat naik ahlinya itu tidak menggambarkan sifat seorang rakyat yang menghormati institusi diraja.

“Sebagai ahli parti dan ahli majlis, beliau seharusnya mengutamakan budi bahasa dan bersikap sopan santun serta perlu menjaga tatatertib berbahasa.

“Sungguhpun DAP teguh atas prinsip keluhuran perlembagaan, sekali gus turut memperjuangkan kebebasan bersuara, prinsip dan perjuangan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melahirkan kenyataan tanpa rasa tanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian.

Hong Pin berkata, sebarang kenyataan dizahirkan harus mengikut etika diplomasi yang tinggi dan berintegriti.

Sehubungan itu, beliau berkata, DAP merafak sembah dan memohon keampunan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar khususnya dan seluruh rakyat atas sikap tidak bertanggungjawab ahlinya yang berkelakuan tidak sopan terhadap institusi raja berperlembagaan.

“Sebagai sebuah parti yang menjadi anggota kerajaan, DAP sentiasa memantau tahap disiplin ahli dan wakil pimpinan di peringkat akar umbi semasa menjalankan khidmat mereka

“DAP sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan institusi raja berperlembagaan di samping memelihara keharmonian masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!