Nak pinjam RM130,000 tapi rugi RM26,300
KUANTAN - Seorang pekebun bukan sahaja hampa apabila wang dipinjam untuk modal perniagaan langsung tidak nampak bayang malah wang simpanan berjumlah RM26,300 lesap selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.
Mangsa berusia 48 tahun dari Ringlet, Cameron Highlands membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 selepas tertarik dengan iklan tawaran pinjaman menggunakan nama sebuah bank yang diiklankan melalui laman sosial Faceebook pada 16 November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang mendakwa ejen syarikat pinjaman tersebut dengan mengemukakan beberapa dokumen termasuk salinan kad pengenalan dan isteri bagi urusan membuka akaun.
Menurutnya, mangsa juga turut menyerahkan maklumat akaun banknya yang sedia ada kepada suspek sebelum membuka akaun bank baharu di bank lain bagi tujuan kemasukan wang pinjamannya.
"Sebagai syarat kelulusan, suspek meminta mangsa membuat beberapa bayaran ke beberapa akaun berbeza dengan jumlah bayaran antara RM1,300 hingga RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM26,300.
"Selepas bayaran itu dibuat, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan RM4,878 sebagai pendahuluan ansuran untuk tiga bulan," katanya.
Mohd Wazir berkata, bagi meyakinkan mangsa, suspek maklumkan semua bayaran itu akan dikembalikan selepas urusan membuka akaun selesai.
"Bagaimanapun mangsa tidak membuat bayaran tambahan yang diminta sebaliknya tampil membuat laporan polis semalam selepas syak ditipu.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis juga mengesan empat lelaki yang dikenalpasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!