Audio canggih AMBEO jadi rebutan
IDAMKAN audio high fidelity (hifi) bertaraf studio canggih ketika menonton rancangan kegemaran atau filem pecah panggung di rumah? Sennheiser, jenama audio terkemuka di dunia ada jawapannya.
Syarikat gergasi Jerman yang sememangnya pakar dalam bidang audio itu memperkenal fitur baharu, AMBEO Soundbar dengan menampilkan ciri penentukuran bilik termaju menggunakan teknologi maya terkini dan dibangunkan bersama Fraunhofer.
Audio yang boleh disesuaikan mengikut spesifikasi bilik tertentu itu lebih kehadapan kerana mampu menghasilkan bes 30Hz sangat padu tanpa memerlukan subwoofer tambahan.
Menurut Pengarah Urusan Sennheiser Asia, Martin Low, AMBEO Soundbar berupaya menjadi produk terbaik tahun ini dan menarik perhatian semua khususnya para pencinta audio berkualiti.
“Kami sentiasa mengutamakan kehendak pelanggan terhadap apa juga inovasi yang dilakukan selain menterjemahkan kesungguhan Sennheiser dengan penglibatan dalam segmen bar bunyi premium buat pertama kali.
“Bahkan kami mempelawa pelanggan untuk tampil dan berkongsi wawasan mereka mengenai audio berkualiti pada masa depan,” katanya sempena Majlis Sesi Pendengaran AMBEO Soundbar di Ritz Carlton Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai inovasi yang serba revolusioner itu, Martin berkata, teknologi AMBEO sentiasa berinovasi daripada segi realiti dan perspektif bunyi sejak dilancarkan pada tahun 2016.
“Oleh itu, kami sangat teruja kerana dapat memperkasakan para pendengar untuk menentukan definisi bunyi sempurna dan pengalaman audio 3D yang belum pernah mereka alami sebelum ini.
“Sebagai Bar Bunyi Sennheiser yang pertama, ia memanfaatkan kuasa sistem pawagam berbilang pembesar suara ke dalam sebuah peranti serba canggih, dikuasakan 13 pemacu termaju demi memberikan pengalaman bunyi 5.1.4,” ujarnya.
Teknologi dihasilkan pakar audio Jerman sebagai salah satu bar bunyi terbaik di dunia itu mampu memberikan bunyi 3D yang mengaburi sempadan antara bunyi rakaman dan realiti menerusi sebuah peranti.
Dilengkapi dengan teknologi Upmix yang boleh diserasikan dengan Dolby Atmos, DTS:X dan MPEG-H, ia mampu menukar sebarang sistem stereo atau audio 5.1 kepada pengalaman bunyi 3D, disokong oleh piawaian HDMI terkini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!