Tambang van sekolah pun naik sebab kena pusing jauh

Sebahagian penduduk kampung memohon kerja baik pulih jambatan di Kampung Rantau Panjang dapat disegerakan.
Sebahagian penduduk kampung memohon kerja baik pulih jambatan di Kampung Rantau Panjang dapat disegerakan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 5,000 penduduk membabitkan tiga kampung mengharapkan jambatan yang menjadi laluan utama dibaiki bagi memudahkan mereka berurusan di pekan Bestari Jaya dan ke Rawang.

Penduduk mendakwa, jambatan yang turut menjadi kemudahan pekerja dari tiga ladang itu diancam hakisan.

Penduduk, Rubiah Fakir, 58, mengakui bimbang menggunakan jambatan itu untuk menghantar anak ke sekolah kerana hampir runtuh akibat hakisan.

“Memang seramlah nak lalu jambatan ni hantar anak ke sekolah tapi nak buat macam mana...nak jalan selamat, kena pusing jauh,” katanya.

Rubiah berkata, dia mengambil masa 15 minit menghantar anaknya kerana menggunakan jalan lain berbanding lima minit melalui jambatan berkenaan.

“Duit tambang van sekolah pun naik sebab laluan jadi jauh... kami mohon sangat jambatan ini dibaiki segera sebab hakisan semakin teruk,” katanya.

Jambatan itu dikatakan menjadi jalan pintas menghubungkan Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, Sungai Tinggi, Ladang Mary, Bukit Minyak dan Nigel Gardner.

Warga emas, Saliah Mat Jali, 68, turut berharap kerajaan negeri prihatin dengan isu kemudahan kampung itu supaya dapat menyegerakan kerja baik pulih.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jambatan itu juga perlu dilebarkan bagi mengelakkan kemalangan dan pada masa sama boleh memberi mempercepatkan urusan mereka.

“Kalau dapat dilalui kenderaan ringan, sudah memadai bagi kami sebab jambatan ni bukan kami saja yang lalu tapi orang luar yang hantar anak ke universiti pun lalu sini,” katanya yang turut memberitahu pihak berkaitan ada membina jambatan sementara.

Wakil penduduk Kampung Bestari Jaya, Mohd Azraie Mat Tahir, 36, kesal apabila aduan kepada agensi berkaitan masih tiada sebarang perubahan.

“Kami pernah bawa isu ini kepada agensi berkaitan tapi tiada penyelesaian. Jambatan ini bukannya laluan persendirian tapi laluan awam...bukan satu dua orang yang lalu sini tapi beribu. Kami bukan nak salahkan sesiapa tapi mohon segerakan kerja baik pulih.

Lebih menyedihkan katanya, ramai pemandu termasuk mereka yang mahu ke Universiti Selangor melalui jalan berkenaan terpaksa berpatah balik kerana bimbang keselamatan dan mengambil masa lama untuk sampai ke destinasi apabila melalui jalan lain.

Seorang lagi penduduk, Jamilah Jan Mohd Rafi Kannan, 25, juga kesal apabila pilihan jalan kedua juga berbahaya kerana ketiadaan tiada lampu jalan dan sering menjadi sasaran penjenayah.

“Bila laluan ke jambatan tak boleh lalu, kami terpaksa lalu jalan ular yang kecil, dan gelap. Bila balik kerja dah malam, memang takut nak lalu tapi terpaksalah," katanya.

Justeru, Jamilah mahu pihak berkaitan memantau keadaan itu bagi mendapat gambaran sebenar kesusahan penduduk yang menggunakan kemudahan itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Rantau Panjang, Nordin Sulaiman Shah, 51, menjelaskan, pihaknya sedia maklum isu hakisan sungai yang semakin teruk sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada agensi berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada penduduk setempat.

"Mereka memerlukan enam bulan untuk baik pulih," katanya.

Menurutnya, tiada masalah bagi pejalan kaki dan penunggang motosikal.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor ketika mengulas isu itu berkata, pihaknya memberi jaminan jambatan sementara masih selamat dilalui pejalan kaki dan motosikal.

“Hasil pemantauan JKR Daerah Kuala Selangor, rebak akibat hakisan bagaimanapun tidak menjejaskan struktur jambatan dan masih selamat dilalui.

“Cuma isu yang dibangkitkan penduduk, mereka mahu kenderaan ringan seperti kereta boleh lalu jambatan ini sedangkan buat masa ini, memang kereta tak boleh lalu.

Bagaimanapun katanya, agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya akan membina laluan kenderaan ringan selepas menerima peruntukan di peringkat negeri.

Jambatan yang menghubungkan Jalan Kampung Rantau Panjang, di sini terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan sejak 24 Oktober lalu berikutan berlaku keretakan akibat mendapan serius.

Jambatan terbabit 'terbelah dua' selepas mendapan dan ditutup bagi mengelakkan sebarang insiden.

Jambatan sementara untuk pejalan kaki, basikal dan motosikal dibuka untuk umum sejak November lalu.

JKR Daerah Kuala Selangor turut menasihatkan kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya menggunakan Jalan Rawang - Jalan Raja Musa - Jalan Timur Tambahan Bestari Jaya sebagai alternatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!