Ketersambungan dengan Korea Selatan bantu ASEAN raih potensi penuh: PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman bersama Presiden Korea Selatan Moon Jae-in ketika hadir pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman bersama Presiden Korea Selatan Moon Jae-in ketika hadir pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUSAN - ASEAN dianugerah peluang besar dan sumber yang kaya namun kawasan ini tidak dapat memanfaatkan potensi penuhnya disebabkan kurangnya infrastruktur canggih, cekap dan mapan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, ASEAN menurut beliau kini melihat kepada Korea Selatan yang memiliki kepakaran yang diperlukan dalam pembangunan infrastruktur, peluasan ekonomi, pembangunan bandar pintar dan inovasi bagi meningkatkan ketersambungan dan ekonomi kawasan itu.

Bercakap pada sesi Pleno 11 Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 hari ini, Dr Mahathir berkata, ketersambungan antara ASEAN dan Korea Selatan perlu ditingkatkan bagi memastikan kedua-dua pihak dapat belajar daripada satu sama lain.

"Kami gembira terhadap Dasar Selatan Selatan Korea Selatan, yang meningkatkan hubungan strategik Korea Selatan dengan ASEAN. Oleh itu, kita perlu mencari sinergi dengan dasar kita," katanya.

Sidang pleno bertajuk ‘Meningkatkan Ketersalinghubungan Ke Arah Kemakmuran dan Kemampanan Yang Lebih Besar' turut dihadiri Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan para pemimpin ASEAN lain.

Dr Mahathir juga menekankan mengenai pentingnya hubungan, terutama dalam memudahkan pewujudan rantau tanpa sempadan yang lancar, memudahkan perniagaan, melepaskan fasa pembangunan teknologi secara tradisional dan memanfaatkan peluang yang muncul daripada ekonomi baharu.

Meningkatkan akses bersama kepada inovasi dan teknologi juga membantu mencapai ekonomi yang kompetitif, pembangunan mampan dan kualiti hidup yang tinggi.

Bagi mencapai matlamat ini, pelan induk Ketersambungan ASEAN 2025 (MPAC2025) penting untuk membangunkan masyarakat ASEAN, dan menghargai sokongan Korea Selatan bagi melaksanakannya, kata Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Bagi Malaysia, Dr Mahathir berkata, negara berpuas hati ke atas kemajuan yang dicapai dalam projek pembangunan bandar pintar yang dilaksanakan bersama dengan Korea Selatan di Kota Kinabalu, khususnya dalam pengurusan air pintar dan pembangunan bandar pintar baharu.

Mengenai perbadanan sosiobudaya, Dr Mahathir mencadangkan ASEAN dan Korea Selatan membangunkan lebih banyak program yang komprehensif dan pelbagai dalam kesenian, kebudayaan dan pemahaman sosial untuk memperkukuh lagi hubungan masyarakat.

ASEAN dan Korea Selatan juga perlu memperkukuh kerjasama pendidikan dengan mempromosi dan meningkatkan pertukaran akademik serta memanfaatkan rangkaian dan program sedia ada seperti Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) dan Program Pertukaran Akademik ASEAN-Korea.

"Ketika kita berusaha memperkukuh dan menggalakkan hubungan sesama penduduk, hubungan pengangkutan udara yang lebih baik dan hubungan antara ASEAN dan Korea Selatan juga penting.

"Kami mengharapkan perjanjian perkhidmatan udara yang liberal dan memberi manfaat bersama antara ASEAN dan Korea Selatan, dapat dicapai bagi meningkatkan lagi hubungan masyarakat," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!