Sukma 2020 tidak adil!
IPOH - Pengurangan acara kategori angkat berat daripada 10 kepada empat bagi setiap kategori lelaki dan wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor tahun hadapan disifatkan sebagai pelik dan terkebelakang.
Presiden Angkat Berat Perlis, Mohd Faiz Musa berkata, tindakan itu disifatkan bertentangan dengan Peraturan Am Sukma selain tidak mengikut kategori seperti diperuntukkan Badan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF).
Menurutnya, penganjuran Sukma bertujuan melahirkan atlet remaja pelapis bagi mewakili negara ke kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti mana sebelum ini yang melahirkan beberapa nama besar beraksi cemerlang di Sukan Komanwel dan Sukan Asia Tenggara (SEA).
"Jadi hari ini kita sepakat beberapa negeri membantah dan memohon Sukma di Johor dipertimbangkan kembali 10 kategori bagi lelaki dan wanita kerana ada atlet-atlet yang sudah membuat latihan hampir enam tahun dan persiapan negeri-negeri melibatkan bajet yang besar tetapi akhirnya tidak dapat bertanding.
"Pencapaian kita pada Sukan Komanwel bagi sukan angkat berat tidak pernah mengecewakan dan antara penyumbang emas utama. Jadi bagaimana mereka nak tunjukkan prestasi jika acara di peringkat mencari pelapis ini pun dipotong kategori," katanya kepada pemberita ketika sidang media berhubung isu acara angkat berat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How.
Mohd Faiz berkata, berdasarkan Perkara 9.1 Peraturan Am Sukma, semua jenis sukan dan acara akan dipertandingkan mengikut Peraturan Badan Sukan Antarabangsa yang berkenaan kecuali diperuntukkan berlainan dalam peraturan Sukan Malaysia manakala bagi Perkara 9.4 Peraturan Am Sukma pula penetapan bilangan kumpulan bagi setiap jenis sukan akan dibuat mengikut amalan persatuan sukan kebangsaan atau badan sukan antarabangsa dan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Khas Teknikal.
Katanya, kejohanan Sukma di Johor perlu menjadi pentas persediaan atlet untuk mempersiapkan diri mereka ke Sukan Komanwel 2022 tetapi malangnya acara dipertandingkan hanya empat berbanding pada Sukan Olimpik sebanyak tujuh acara.
Bagi Pengurus Pasukan Angkat Berat Perak, Muhammad Amir Muhamad Nadzri berkata, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma itu tidak adil kepada semua negeri yang mempunyai atlet angkat berat.
Katanya, keputusan yang dibuat jawatankuasa itu, bagi kategori lelaki, hanya acara tidak melebihi 55 kilogram (kg), tidak melebihi 61kg, tidak melebihi 67kg dan tidak melebihi 73kg.
Bagaimanapun menurut Muhammad Amir, bagi kategori wanita pula hanya acara tidak melebihi 76kg, tidak melebihi 81kg tidak melebihi 87kg dan melebihi 87kg yang akan dipertandingkan.
Katanya, ramai atlet negara lahir melalui Sukma dan langkah mengurangkan acara bagi sukan angkat berat ini sangat terkebelakang serta tidak seimbang.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman di saat-saat akhir kira-kira tujuh bulan sebelum berlangsungnya Sukma 2020 di Johor amat mendukacitakan atlet-atlet dan pengurusan pasukan angkat berat.
"Jadi saya harap orang ramai atau sesiapa sahaja penggiat dan pengurusan sukan lihat perkara ini dengan serius, janganlah kita mundurkan balik apa yang kita bina dan runtuhkan apa yang kita bina. Sama-sama kita buat.
"Jangan pentingkan pingat semata-mata pada kejohanan Sukma tetapi kita fikir objektif penganjuran Sukma untuk melahirkan atlet remaja dan menggalakkan penyertaan, itu yang kita mahukan sebenar-benarnya," katanya lagi.
Muhammad Amir berkata, selain Perak, Perlis dan Pahang, negeri-negeri lain yang menyokong usaha merayu supaya penambahan acara kategori berat pada kejohanan Sukma 2020 itu ialah Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Melaka, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, isu pengurangan acara bagi kategori sukan pada Sukma tidak harus berlaku kerana jika ia dibenarkan akan menjadi ikutan kepada penganjuran di negeri-negeri lain selepas ini.
Sementara itu, Chuan How berkata, pihaknya akan membawa isu itu kepada Jawatankuasa Teknikal Tertinggi yang akan dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurutnya, keputusan yang dibuat untuk mengurangkan acara kategori angkat berat itu memberi gambaran bahawa pihak tertentu sanggup mengenepikan usaha serta perjuangan atlet hanya kerana mahu mengejar pingat semata-mata.
"Persoalan yang timbul berikutan isu ini adalah sama ada kita mengejar pingat untuk membangunkan sukan atau nak bangunkan sukan untuk mengejar pingat. Pendirian kita di pihak kerajaan negeri, kita nak pingat tetapi apa yang lebih penting adalah usaha melahirkan bakat-bakat untuk mengharumkan nama negeri dan negara dan akhirnya membangunkan sukan itu sendiri.
"Saya sendiri nampak bagaimana atlet Perak tangan koyak, tercedera dengan harapan boleh mewakili negeri di peringkat tertinggi dalam sukan kebangsaan. Ini bukan soal Pahang atau Perak nak jadi juara keseluruhan. Ini pasal sukan," katanya.
Beliau berkata, sama ada rayuan itu akan didengar atau sebaliknya, paling penting persatuan sukan dan atlet terlibat sudah menyuarakan perkara tersebut di peringkat tertinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!