Diesel RM300,000 dirampas di perairan Bintulu
BINTULU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga lelaki warga India serta merampas sebuah kapal tangki yang membawa minyak diesel bernilai RM300,000 dalam satu rondaan di perairan Bintulu pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, kapal tangki tersebut ditahan kira-kira 11.0 batu nautika dari Tanjung Kidurong jam 9.30 pagi semalam setelah gagal mengemukakan dokumen membenarkan membawa muatan minyak diesel.
"Kapal tangki terbabit disyaki telah melakukan kesalahan membawa muatan minyak diesel sebanyak 100,000 liter tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kapal tangki tersebut akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Kapal tangki telah ditahan siasatan lanjut," katanya.
APMM Bintulu meminta orang awam untuk menghubungi talian 086-314254 atau menyalurkan maklumat menerusi laman Facebook di Zon Maritim Bintulu atau twitter Zon Maritim_Bintulu@ZBintulu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!