Semua rakyat Malaysia di Colombia selamat
KUALA LUMPUR - Semua enam rakyat Malaysia yang menetap di Colombia dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan tunjuk perasaan antikerajaan di Bogota, kata Kedutaan Malaysia ke Peru.
Setiausaha Pertama dan Ketua Canseri kedutaan itu, Syed Ahmad Naufal Syed Isa berkata, pihaknya telah menghubungi mereka dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku setakat ini.
"Perintah berkurung yang sebelum ini dikenakan Kerajaan Colombia dari Jumaat pada jam 9 malam hingga 6 pagi Sabtu telah ditarik balik.
"Kedutaan itu kini memantau rapat situasi di Colombia dan ingin memaklumkan bahawa setakat ini enam rakan senegara kita yang menetap di Colombia adalah selamat," katanya ketika diminta mengulas nasib rakyat Malaysia.
Mengulas laporan media, lebih 200,000 orang mengambil bahagian dalam apa yang mereka sifatkan sebagai mogok kebangsaan berhubung beberapa isu, termasuk kemungkinan melakukan pembaharuan ekonomi oleh kerajaan berhaluan kanan Presiden Ivan Duque.
Kedutaan Malaysia di ibu kota Peru, Lima adalah wakil bertauliah negara di Colombia.
Rakyat Malaysia yang ingin melakukan perjalanan ke Colombia dinasihati mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Lima menerusi e-mel.
Mereka yang memerlukan perkhidmatan konsular dan bantuan boleh menghubungi Kedutaan di talian +51-1-422 0297 (9 pagi - 5 petang), +51 974 650 595 (selepas 5 petang atau hujung minggu) atau e-mel ke mwlima@kln.gov.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!