Daun ketum RM98,100 dirampas
PADANG BESAR - Daun ketum bernilai RM98,100 dengan anggaran berat 654 kilogram (kg) berjaya dirampas dalam empat serbuan Op Wawasan Kedah/Perlis yang diadakan selama empat hari di sekitar Padang Besar.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam serbuan pagi Ahad lalu, sepasukan anggota risik terserempak dengan sebuah kereta Perodua Kembara dalam keadaan mencurigakan di Batu 20, Kok Mak, sekitar 7.30 pagi.
Menurutnya, anggota PGA mengejar serta mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan tersebut, namun pemandu tidak mempedulikan arahan dan memandu sehingga ke jalan Batu 20, ke blok Felda Mata Ayer.
“Secara tiba-tiba, pemandu itu memberhentikan kenderaan di tengah jalan dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran. Hasil pemeriksaan dalam kenderaan menjumpai 16 guni putih mengandungi daun hijau disyaki ketum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Ghani berkata, daun ketum yang dirampas dianggarkan seberat 560kg bernilai RM84,000 manakala kenderaan Perodua Kembara turut dirampas.
“Rampasan kedua membabitkan 84kg daun ketum yang diisi dalam tiga guni bernilai RM12,600 berdekatan stesen KTM Padang Besar. Sekumpulan lelaki memunggah guni itu dari kereta menuju ke pagar sempadan sekitar jam 2 pagi dan apabila dihampiri mereka melarikan diri ke Thailand,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun pemandu kereta terbabit berjaya memecut laju melarikan diri.
Abdul Ghani berkata, rampasan ketiga membabitkan 10kg daun ketum bernilai RM1,500 yang dijumpai dalam dua beg hitam berhampiran pintu pagar Malaysia-Thailand.
“Pada malam Ahad lalu, anggota terserempak seorang lelaki mencurigakan bersama motosikal dengan nombor pendaftaran Thailand, setelah memperkenalkan diri dan melakukan pemeriksaan, anggota PGA menjumpai daun ketum dibalut dengan plastik lut sinar, dalam dua beg hitam dibawa suspek,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menahan warganegara Thailand berusia 28 tahun itu yang juga seorang penganggur untuk siasatan lanjut.
Abdul Ghani berkata, dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan bersama sebilah parang panjang dan pisau, dalam pemeriksaan di laluan keselamatan ladang getah di Padang Besar, malam semalam.
“Lelaki berusia 37 tahun itu menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan, hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu, kita menjumpai parang dan pisau dalam bakul motosikal dinaikinya selain positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan orang dikehendaki polis dan berasal dari Klang, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!