Larangan merokok: YB tak terkecuali kena saman
SEREMBAN - Wakil rakyat di Negeri Sembilan tidak terkecuali dikenakan saman jika didapati bersalah merokok di kawasan larangan.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, wakil rakyat juga boleh dikenakan tindakan dan mereka tidak boleh menggunakan keistimewaan sebagai wakil rakyat untuk tidak diambil tindakan.
"Sebagai pemimpin, kita (wakil rakyat) perlu menjadi contoh kepada masyarakat.
"Jangan guna keistimewaan yang ada untuk selamatkan diri dan melarang penguatkuasa untuk ambil tindakan saman. Jika lakukan kesalahan, mereka juga perlu dikenakan tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Yap Yew Weng (DAP-Mambau) berkenaan isu larangan merokok di Negeri Sembilan dan usaha yang telah dilaksanakan kerajaan Negeri Sembilan terhadap isu penguatkuasaan larangan merokok.
Dalam pada itu Veerapan (DAP-Repah) memberitahu, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 20 Oktober lalu sebanyak 10,946 premis makanan telah dijalankan aktiviti Penguatkuasaan Pendidikan dan sejumlah 3,401 notis amaran dikeluarkan terhadap perokok dan pemilik premis makanan yang tidak mematuhi kehendak perundangan tersebut.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sembilan (DUN) Ke-14 di Wisma Negeri Sembilan di sini hari ini.
Tambahnya, bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang bahaya merokok dan larangan merokok di premis makan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengambil pendekatan melakukan aktiviti pendidikan kepada masyarakat.
Katanya, menjelang tempoh penguatkuasaan yang bakal bermula, pihaknya sudah bersedia untuk melakukan aktiviti penguatkuasaan di premis makan secara bersepadu dengan kekuatan anggota dan logistik yang maksimum tanpa menjejaskan perjalanan aktiviti program sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!