DAP Kelantan intai tiga DUN untuk PRU15

Chua Chin Hui
Chua Chin Hui
A
A
A

KOTA BHARU - DAP Kelantan bercadang meletakkan calon di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas dasar sokongan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Siam dan Melayu terhadap parti itu.

Pengerusinya, Chua Chin Hui berkata, DUN berkenaan adalah Kota Lama dalam Parlimen Kota Bharu, Galas dan Guchil yang kedua-duanya dalam Parlimen Gua Musang yang dilihat berpotensi untuk parti itu menang.

"Kita akan melantik tiga anggota parti sebagai penyelaras di setiap DUN itu bagi memberi khidmat bakti dan mampu menarik sokongan pengundi di tiga DUN ini.

"Sudah sampai masanya DAP meletakkan calon yang berwibawa di Kelantan kerana ketika ini sokongan rakyat termasuk masyarakat Melayu dan Siam semakin meningkat selepas PRU14 lalu," katanya hari ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat sebanyak 38 cawangan DAP di seluruh negeri ini berbanding hanya tujuh cawangan sahaja sebelum PRU14 lalu.

"Ini membuktikan sokongan rakyat yang kecewa dengan Pas dan BN (Barisan Nasional) begitu tinggi dan kita terharu dengan sokongan masyarakat Melayu yang membuktikan kita bukan parti perkauman," katanya.

Chin Hui berkata, sebagai contoh jika sebelum ini hanya satu cawangan orang asli di Galas namun kini terdapat lapan cawangan kaum itu di Gua Musang dengan keahlian melebihi 2,000 orang.

"Begitu juga yang berteraskan Melayu kini terdapat tujuh cawangan berbanding satu sahaja di Kota Bharu sebelum ini dan jumlah keahlian kaum Melayu kini sudah melebihi 1,000 orang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keseluruhan ahli DAP di Kelantan ketika ini sudah menjangkau hampir 6,000 orang dan yakin akan mengumpul lebih ramai lagi pada pertengahan awal tahun depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!