Banteras penunggang motosikal bawah umur

Remaja yang ditahan berusia di antara 11 hingga 13 tahun.
Remaja yang ditahan berusia di antara 11 hingga 13 tahun.
A
A
A

KULIM - Polis Kulim mengeluarkan 62 saman terhadap 70 motosikal diperiksa dalam satu serbuan di Taman Kulim Square, baru-baru ini.

Ketua Polis daerah kulim, Superitendan Ahmad Naser Jaafar berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat penduduk Taman Kulim Square, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama polis sukarelawan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim.

Menurutnya, operasi diketuai Inspektor Mohd Nor Hafiz Zainal itu bertujuan membanteras kegiatan remaja bawah umur menunggang motosikal.

“Dari pemeriksaan dibuat kebanyakan mereka yang ditahan berusia di antara 11 hingga 13 tahun.

“Antara kesalahan dilakukan adalah, menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar serta cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa diminta memantau waris yang menunggang motosikal di bawah umur.

“Kesalahan tidak memiliki lesen memandu boleh dihadapkan ke mahkamah di mana pemilik kenderaan juga turut disaman.

“Polis memandang serius tentang masalah ini dan meminta kerjasama ibu bapa supaya tidak sewenang-wenangnya membenarkan anak mereka di bawah umur menunggang motosikal “ katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Naser berkata, sebelum ini bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik telah membuat serbuan dan pemeriksaan di Taman Mutiara.

“Dalam serbuan itu 157 saman dikeluarkan melibatkan 188 kesalahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!