1.4 juta guna perkhidmatan Prasarana setiap hari
KUALA LUMPUR - Seramai 1.4 juta orang direkodkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan Kumpulan Prasarana Malaysia Sdn Bhd (Prasarana) di seluruh negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, berdasarkan jumlah itu, seramai lebih sejuta penumpang menggunakan perkhidmatan RapidKL setiap hari.
Beliau berkata, pencapaian tersebut adalah berikutan minat dan kecenderungan orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam semakin meningkat.
"Walaupun jumlah capaian penumpang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, namun ia masih jauh daripada sasaran 30 peratus nisbah mod pengangkutan awam menjelang 2030,"katanya menerusi ucapan sewaktu Majlis Penghargaan Media yang berlangsung di Hotel Seri Pasific di sini hari ini.
Mengulas mengenai program berkenaan Mohamed Hazlan berkata, media banyak membantu Prasarana sejak agensi itu diberi tanggungjawab dan amanah untuk memacu transformasi sistem pengangkutan di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar kerjasama ini akan dapat terus dieratkan bagi mempromosi dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam buat orang ramai.
"Rakan media sentiasa menghulurkan tangan apabila kami memerlukan masyarakat untuk cakna dengan perkembangan semasa perkhidmatan kami serta aktiviti belakang tabir yang berlaku seharian dalam memastikan operasi berjalan lancar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!