Pemuda UMNO Negeri Sembilan desak ADUN Pilah letak jawatan
SEREMBAN - Pemuda UMNO Negeri Sembilan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada individu lain yang mempunyai kesihatan lebih baik dan boleh membuat kerja sebagai wakil rakyat.
Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, imej pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan terjejas disebabkan ketidakupayaan ADUN berkenaan yang juga Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu melaksanakan tugas-tugas sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, sebagai ADUN, Mohamad Nazaruddin sepatutnya melakukan kerja dan menjaga kebajikan rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah dengan baik, namun beliau tidak dapat melaksanakannya.
"Kita mendesak supaya YB Pilah letak jawatan dan bagi laluan untuk PRK Pilah. Kita mohon kepada Menteri Besar supaya mengambil tindakan tersebut. Ini adalah untuk rakyat, kita bukan antikerajaan tetapi ini adalah untuk rakyat.
"Baru-baru ini Pejabat Khidmat Rakyat DUN Pilah tutup dalam tempoh masa lama. Rakyat di DUN Pilah tidak ada hala tuju nak berjumpa siapa, ada wakil rakyat tapi tidak boleh buat kerja.
"Kita mendesak dan meminta Menteri Besar supaya memberi nasihat kepada ADUN Pilah agar berehat dan bagi laluan kepada orang lain kerana beliau kini sedang sakit, bersikaplah secara rasional dan profesional," katanya selepas mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan Wisma Negeri Sembilan dekat sini hari ini.
Kira-kira 50 orang menyertai demonstrasi aman tersebut, dengan melaungkan ungkapan meminta YB Pilah meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pilah.
Sementara itu, Mohamad Nazaruddin ketika ditemui di pekarangan Wisma Negeri hari ini berkata, tahap kesihatannya kini semakin baik.
"Saya alhamdulillah, semakin baik berbanding sebelum ini," katanya ringkas kepada media.
Bagaimanapun, beliau hanya tersenyum apabila media bertanya soalan lanjut.
Terdahulu, Mohamad Nazaruddin dilaporkan mengalami penyakit misteri sejak menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Tahap kesihatannya semakin merosot sehingga menyebabkan beliau sukar untuk berkomunikasi dengan lancar selain tidak lagi aktif seperti dulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!