Bekas kapten TUDM dapat ganti rugi RM235,000
Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril mengarahkan Deputi Superintendan Norzamani Mat Zim, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan membayar ganti rugi itu selepas membenarkan saman Azrul Hardav Abdullah, 58.
Mahkamah juga mengarahkan defendan yang diwakili oleh peguam kanan persekutuan Nik Mohd Noor Nik Kar membayar kos RM40,000 kepada plaintif.
Azrul Hardav, yang diwakili peguam Muniandy Vestanathan dan Fiona Aurelia Culas memfailkan saman itu pada Disember 2017.
Dalam penghakimannya, Mohd Firuz berkata plaintif, yang ketika ini adalah pengarah di sebuah syarikat pembangunan hartanah Sun Sky Property Sdn Bhd ditahan pada 9 Januari 2017 dan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi mendapatkan perintah tahanan reman, namun ia tidak diberikan oleh majistret.
“Majistret tidak membenarkan penahanan reman dan mengarahkan supaya plaintif dibebaskan, namun pembebasan itu tidak berlaku, dan plaintif dibawa ke Ibu Pejabat Polis Johor dan ditahan semula, namun tiada sebab-sebab penahanan diberikan.
“Selepas menahan plaintif sekali lagi, defendan pertama (Norzamani) memohon perintah reman kedua, dan hakim juga enggan memberikan perintah reman, dan mengarahkan plaintif dibebaskan,” katanya.
Mohd Firuz menambah selepas perintah reman diketepikan, plaintif tetap ditahan dan dibawa ke Kuantan, Pahang bagi mendapatkan perintah tahanan reman buat kali ketiga, namun permohonan itu juga diketepikan oleh Mahkamah Majistret Kuantan.
Beliau berkata, dalam percubaan keempat Azrul Hardav dibawa ke Sepang untuk memohon perintah reman, dan sekali lagi ia diketepikan.
“Saya berpendapat penahanan itu tidak sah. Plaintif tidak seharusnya ditahan tanpa arahan majistret. Menurut defendan pertama, beliau hanya mengikut arahan dari pegawai atasannya “Supt Siva”, malangnya ‘Supt Siva’ tidak dipanggil sebagai saksi semasa perbicaraan,” katanya.
Mohd Firuz membenarkan pemberian ganti rugi RM75,000 kepada Azrul Hardav bagi kehilangan kebebasan dan RM15,000 tiap sehari semasa dalam tahanan atau jumlah penuhnya RM60,000.
Mahkamah turut mengarahkan pemberian RM100,000 kepada plaintif sebagai ganti rugi teladan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!