Sukan SEA: Skuad bola jaring negara benam tuan rumah 88-25

Pemain Malaysia, Pow Mei Foong ketika mengasak pemain Filipina pada acara bola jaring wanita peringkat kumpulan di Sta Rosa Sports Multi-Purpose Complex hari ini. - Foto Bernama
Pemain Malaysia, Pow Mei Foong ketika mengasak pemain Filipina pada acara bola jaring wanita peringkat kumpulan di Sta Rosa Sports Multi-Purpose Complex hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA berada dalam laluan yang tepat untuk mempertahankan pingat emas bola jaring Sukan SEA selepas membenam pasukan tuan rumah Filipina 88-25 pada perlawanan pusingan awal hari ini.

Walaupun berhadapan penyokong tuan rumah yang bersemangat di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna di sini, pemain negara menunjukkan kehebatan dan kehandalan mereka sebagai juara bertahan apabila menang dengan jurang mata yang besar.

Juara dua kali itu bermula dengan baik, dengan mendahului 23-7 pada suku pertama, sebelum pasukan tuan rumah cuba mengurangkan jurang pada suku kedua, namun pasukan Malaysia berjaya mengekalkan momentum dengan mendahului 44-15.

Dengan kelebihan ketinggian pemain, Malaysia menambah jaringan untuk menang perlawanan kedua mereka, selepas mengalahkan Thailand 62-42, pada perlawanan pertama, semalam.

Pemain pertama negara yang beraksi dalam liga di luar negara bersama kelab Australia, GWS (Greater Western Sydney) Fury, An Najwa Azizan akui, permainan mereka hari ini lebih baik daripada semalam.

“Tentunya satu permulaan yang baik, rancangan permainan kami pada perlawanan pertama agak kelam kabut, namun kami boleh lihat perubahan dalam perlawanan kedua. Hasrat kami ialah memperbaikinya setiap perlawanan dan menjalankan rancangan permainan untuk hari tersebut,” katanya kepada media Malaysia selepas perlawanan.

Pemain Malaysia, Karishma S Loganathan (kiri) diasak pemain Filipina pada acara bola jaring wanita peringkat kumpulan di Sta Rosa Sports Multi-Purpose Complex hari ini. - Foto Bernama
Pemain Malaysia, Karishma S Loganathan (kiri) diasak pemain Filipina pada acara bola jaring wanita peringkat kumpulan di Sta Rosa Sports Multi-Purpose Complex hari ini. - Foto Bernama

Malaysia akan bertemu Brunei pada Khamis ini sebelum menamatkan perlawanan pusingan ‘round robin’ menentang pesaing utama, Singapura pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

“Kami lihat Brunei agak sukar, tetapi kami ada rancangan permainan sendiri dan kami akan laksanakan. Bertemu Singapura, semua di Sukan SEA telah meningkat, jadi kami perlu bermain lebih baik,” kata pemain yang ketinggiannya mencecah 1.79 meter.

Sementara itu, jurulatih pasukan Tracey Robinson berkata, pasukan itu perlu mengambil serius setiap perlawanan dan bekerja keras di sepanjang keseluruhan 60 minit, sambil memfokuskan untuk bermain lebih baik.

“Perlawanan menentang Filipina ini antara yang amat penting, kami mahu bermain lebih baik dari semalam dan kami berjaya lakukannya. Brunei adalah satu pasukan yang bagus, kami adalah pasukan tertinggi di sini, tetapi ia semuanya berkaitan dengan permainan,” katanya.

Mengikut format, pasukan menduduki tempat teratas dalam round robin akan bertemu pasukan di tempat keempat, manakala pasukan di tempat kedua akan bertemu pasukan di tempat ketiga pada peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada 1 Disember.

Untuk rekod, dalam tiga edisi Sukan SEA yang mana bola jaring dipertandingkan, Malaysia menang emas dua kali, kedua-duanya ketika negara menjadi tuan rumah pada 2001 dan 2017 manakala Singapura memenanginya ketika mereka menjadi tuan rumah pada 2015. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!