Agenda UMNO bangkit kembali
PADA 4 hingga 6 Disember nanti, ribuan perwakilan dari seluruh pelosok tanah air akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk melaksanakan satu acara penting dalam takwim tahunan parti di samping melengkapkan tanggungjawab UMNO sebagai sebuah pertubuhan parti politik yang sah di sisi undang-undang negara.
Pemuda UMNO juga akan mengadakan Perhimpunan Agung mereka sendiri dan dijangka seramai lebih 1,400 orang perwakilan Pemuda daripada 191 Bahagian akan berhimpun di Dewan Merdeka PWTC tahun ini bagi mendengar ucapan dasar Ketua Pemuda dan berbahas mengenai perancangan pergerakan sayap ini untuk setahun yang mendatang.
Perhimpunan Agung tahun lepas adalah penting bagi UMNO dan sayap-sayapnya. Kesedihan dan kepedihan daripada kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijadikan peluang bagi parti untuk bermuhasabah. Di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO, gagasan ‘Pemuda Bangkit Kembali’ yang mengandungi lima teras kebangkitan Pemuda untuk dijadikan asas kepada penerimaan rakyat kepada UMNO.
Teras pertama ‘Menjuarai Agenda Rakyat’ menggariskan agar Pemuda UMNO meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama agar UMNO tidak lagi dilihat terputus jauh daripada rakyat. Pemuda UMNO menginsafi keadaan itu dan komited untuk menjadi juara rakyat dan pembangkang yang berwibawa memperjuangkan isu-isu rakyat.
Teras kedua '‘Menyantuni Kepelbagaian Anak Muda’ pula memberi penekanan kepada realiti sokongan padu anak muda amat diperlukan pada PRU akan datang dan untuk UMNO kembali berkuasa menjadi kerajaan. Oleh yang demikian, Pemuda UMNO telah mengadakan beberapa pembaharuan seperti memudahkan pendaftaran keahlian di samping mendekati mereka tanpa mengira latar belakang dan gaya.
Teras ketiga ‘Memperkukuh Nilai Inklusif’ memberi fokus kepada keterbukaan Pemuda UMNO untuk menilai dan menambah baik kerangka kerjasama politik Barisan Nasional (BN) sebagai yang terbaik dan menepati citra sebenar rakyat Malaysia.
Maka, Pemuda UMNO bersama teman daripada Pemuda MCA dan Pemuda MIC duduk semeja dan mengharmonikan formula kerjasama yang terbaik dan bersesuaian dengan keadaan semasa. Nilai inklusif itu diberi nilai tambah dengan agenda Penyatuan Ummah bersama Pas sehingga termeterainya Muafakat Nasional yang menyaksikan siri kejayaan PRK-PRK yang lepas.
Teras keempat ‘Pengislahan Pemuda’ memberi penekanan aspek bangkit kembali melalui agenda 5P iaitu Pengkaderan, Pentarbiyahan, Pembudayaan Ilmu, Pemerkasaan Rohani dan Pengukuhan Jati Diri yang mana pergerakan itu akan mempunyai kekuatan dan semangat untuk meneruskan perjuangan parti secara bersama dan sistematik.
Selain itu, melalui penganjuran siri program halaqah ilmu di semua peringkat termasuklah 'retreat' berkala, setiap Pemuda boleh dan mampu untuk melaksanakan program dan inisiatif Pemuda UMNO yang dirancang.
Teras kelima ‘Penjenamaan Semula Pemuda’ memberi fokus kepada menjadikan setiap individu dalam Pemuda UMNO mempunyai ciri-ciri dan berketerampilan unggul seperti menolak rasuah, telus, mengangkat keadilan dan menghormati nilai-nilai sejagat agar mereka menjadi duta kecil dalam usaha menjenamakan semula Pemuda UMNO sebagai pergerakan yang berwibawa. Penyertaan ramai anak muda dalam Skuad Sabil boleh dilihat bukti penerimaan awal pada jenama Pemuda UMNO.
Tuntas, kelima-lima teras itu adalah usaha yang berterusan oleh setiap Pemuda UMNO dan tidak boleh leka serta alpa. Apa yang dikecapi setakat ini masih terlalu awal untuk dianggap sebagai kejayaan total.
Oleh yang demikian, Pemuda UMNO harus melipatgandakan usaha pada masa hadapan untuk menjamin kelangsungan kebangkitan kembali agar UMNO menjadi pilihan rakyat dan memenangi Putrajaya kelak. Insya-ALLAH.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!