Kalau ilmu hanya sejemput
A
A
A
Sebenarnya saya kenal dengan Ame terlebih dahulu melalui Facebook. Saya terjumpa lamannya yang bermain muzik.
Takdir menemukannya secara berdepan ketika beliau ke pejabat saya di Brainy Bunch. Dari situ kami akan bersembang bila ada kesempatan.
Ame punyai pengalaman berpuluh tahun sebagai guru muzik. Beliau boleh bermain pelbagai alat muzik, punyai suara yang baik serta boleh menyanyikan pelbagai lagu dan rentak dengan penuh perasaan. Ada 'showmanship', kata orang.
Sebagai orang media saya bertanya pelbagai soalan mengenai muzik. Akhirnya melarat juga pada perkara apakah dalam muzik terdapat perbezaan pandangan hingga terjadinya kritik mengkritik.
Jawapannya, ya sememangnya ada. Mereka yang bermain muzik klasik akan berkata, mereka yang memainkan muzik pop itu adalah golongan yang komersial, kurang etika dan nilai estetika. Yang meminati jazz akan berkata golongan yang sukakan reggae kurang kelas.
Begitulah lumrah orang sekarang. Bila tak tahu buat-buat pandai kononnya penuh ilmu. Tetapi cuma ilmu cut and paste daripada Google.
Yang sudah belajar dan punyai sedikit ilmu akan mula taksub dengan ilmunya hingga mencemuh mereka yang tidak sealiran. Di dalam pejabat, mereka dari jabatan pemasaran selalunya akan bertekak dengan mereka dari jabatan akaun.
Orang jabatan pemasaran mendapat duit dengan membelanjakan duit. Orang akaun pula mendapat duit dengan berjimat duit yang ada.
Kita lihat juga mereka dalam bidang kejuruteraan bangunan misalnya akan bertekak dengan mereka dalam bidang rekaan dalaman.
Yang jurutera utamakan konsep form follow function. Yang pereka pula mahukan konsep function follow form.
Jurutera jalan raya mahu jalan yang lurus kerana ia menjimatkan. Pereka lanskap pula mahu jalan yang berkelok untuk mengelilingi tasik.
Dalam penulisan juga tidak terkecuali. Mereka dalam bidang penulisan sastera akan mempersoal penulis-penulis karya komersial.
Karya komersial kononnya melacurkan sastera. Sebaliknya karya-karya sastera pula dikatakan karya syok sendiri.
Jika disentuh pada agama pula, meskipun terdapat pelbagai mazhab terutamanya mazhab yang empat, iaitu mazhab Maliki, Shafie, Hambali dan Hanafi, keempat-empat mereka saling menghormati di antara satu dengan yang lain.
Malangnya di peringkat kita yang memilih jalan atau manhaj, kita saling sindir menyindir dengan maksud mazhab yang dipilih itulah yang yang terbaik.
Semua ilmu, khususnya ilmu kehidupan seharusnya menjurus kepada satu, iaitu untuk memberi kenikmatan kepada manusia, malah adunan dan gabungan pelbagai jalur ilmu itulah yang akan mencantik dan memperkaya ilmu itu sendiri.
Tidak ada ilmu yang lebih baik atau lebih agung daripada ilmu yang satu lagi. Semuanya milik ALLAH Yang Satu. Bukankah Dia yang mengajar semua ilmu itu kepada moyang kita, Nabi Adam a.s?
Barangkali kita perlu ambil tahu semua bidang dalam satu-satu jalur ilmu. Seperti Ame, dia belajar muzik pop, jazz, klasikal, reggae, muzik Melayu dan apa-apa lagi. Apabila dia mengetahui banyak, sebagai manusia dia juga sedar yang ilmunya tidak cukup.
Apabila dia berasa ilmunya tidak cukup dia perlu belajar lagi dan tidak berani mencemuh mana-mana ilmu yang dia tidak tahu. Yang penting, Ame sentiasa gemar mengapresiasi sesuatu yang baharu.
Berbanding dengan mereka yang hanya belajar hanya satu jalur ilmu, dia akan kata ilmunyalah yang terbaik. Dia berani pula mencemuh ilmu yang dia tidak pelajari.
Orang begini begitu cetek fikiran dan cetek pula pengalaman. Bak kata orang dulu-dulu, kalau kail panjang sejengkal, laut yang dalam jangan diduga. Orang begini akan terdiam bila ditegur oleh mereka yang berilmu penuh di dada.
Perkembangan teknologi pada hari ini membolehkan sesiapa sahaja berkongsi ilmu. Jumlah ilmu yang dikongsi percuma berlambak-lambak di internet.
Orang yang sedikit ilmu jangan cuba-cuba menjaja ilmunya yang sejemput itu. Malu bila ditatap oleh orang yang tahu.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!