Cetusan nurani rakyat ada harga tersendiri

No Image Caption
A
A
A

ENTRI ini kategori: 'No fear, no favour'. Siapa hati keropok yang senang berderai, mohon jangan baca.

Ada orang mengomel: perubahan tampuk sosiopolitik nasional tidak menyumbang sebarang anjakan dalam pendidikan. Reformasi yang dihasratkan, tidak pun berlaku. Benarkah?

'Naratif Pendidikan Baru' sebenarnya sudah berdendang hamper setahun. Jika sepintas dengar, ia seolah-olah satu lagi retorik polisi. Bagi sesetengah orang, barangkali ia sekadar slogan – yang cuma cantik pada pendengaran, tapi cetek dengan pengisian.

Saya fikir itu satu andaian yang tersasar. Selaku ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (satu-satunya dari Borneo), juga seorang pendidik sejak 25 tahun dulu – mari kita berkenalan, sambil saya berkongsi sedikit pendengaran tentang hal ini.

Nama saya Rem Dambul (Ramzah Dambul), anak momogun Dusun. Saya lalui empat fasa pendidikan yang berwarna-warni.

Bermula dari desa terpencil di pedalaman Sabah, sebelum ke sebuah pekan semi urban di negeri Jelapang Padi. Kemudian melanjutkan pendidikan tertiari di kota metropolis, Kuala Lumpur. Kemuncaknya di England, negara bangsawan Inggeris yang tersohor.

Sejak Kementerian Pendidikan Malaysia beralih pimpinan tahun lepas, naratif itu sudah mula bercambah.

Beberapa anjakan besar bersifat dasar berlaku, disusuli aneka perancangan strategi dan implementasi di peringkat akar umbi.

Tapi kita semua tahu, perubahan tidak berlaku dalam vakum. Proses itu bergeser dengan seribu faktor, fitrah dan hukum.

Ya, pembaharuan perlukan masa untuk benar-benar tumbuh matang. Ia bukan seperti menyemai tauge. Hari Sabtu tabur benih, Isnin depan sudah boleh tuai.

Pendidikan adalah aspek yang begitu dekat di hati semua orang. Ia merentas segenap sektor. Maka ia juga amat mudah mengundang diversiti pendapat.

Atas sebab ini, isu-isu pendidikan begitu rapuh kepada pertentangan ideologi dan manipulasi politik.

Sebagai misalan, Tan Sri Rafidah lebih gemar martabak, bukan martabat. Profesor Tajuddin mengidam masyarakat utopia yang maksum. Tun Daim pula kepingin dinamik ekonomi yang serba-serbi global.

Kemahuan manusia terolah mengikut pengalaman peribadi dan alam materi di mana mereka hidup menua. Ya, impian tiga tokoh itu cukup terhormat. Tapi hakikatnya, itu cuma mewakili suara urban, komuniti elitis.

Di Ulu Kukut, ada rintihan Gundohing Maragang tentang tangga kayu sekolah yang sudah lama dikunyah anai-anai. Ada juga keluhan Tok Batin Rikie tentang kasut putih anaknya yang cepat kotor merentas denai di celah hutan Lemoi.

Artikel Berkaitan:

Apa yang Rafidah, Tajuddin et. al mahukan, sememangnya agung. Jika dibanding dengan cerita tangga dan kasut oleh Maragang, Rikie et. Al – argh.

Itu semua terlalu picisan. Namun setiap cetusan nurani rakyat ada harga tersendiri. Tiada hak pendidikan, meski sekecil mana pun, yang wajar dipinggir.

Naratif

Persoalannya - bila sumber tidak mencukupi, tenaga pemacu terhad: bagaimana prioriti dipilih dan diangkat sebagai tunjang kepada suatu naratif besar?

Selama bertahun-tahun, suara atasan menguasai wacana pendidikan Malaysia. Minoriti T20 (mereka yang mengisi 20 peratus teratas segmen sosioekonomi) menentukan bagaimana naratif pendidikan diolah.

Sebab mereka lebih mudah tembus pada akses media dan penguasa. Bahkan status dan kedudukan mereka pun sudah memberi pemberat tinggi pada suara yang dilempar.

Tiada masalah dengan 'soaring upwards' dari segi matlamat. Ia membawa mimpi mulia, mahu berdaya maju seantero sejagat.

Cuma isunya: sampai bila status quo yang tidak seimbang diwariskan? Sampai bila kita merajadewatakan teriakan burjuis dan meremehkan rintihan marhaen?

'Pendidikan untuk semua' - mungkin kedengaran kurang gah. Tidak melangit bombastik. Tapi ia membawa nilai yang jauh lebih membumi dan inklusif. Inilah naratif baru pendidikan, mengangkat ceruk yang selama ini tersorok. Mengalih kuasa dominan arah tuju pendidikan - dari kaum elitis kepada komuniti marginal.

Sebab itu juga, cerita kasut tiba-tiba berkumandang sebagai polemik nasional. Ini sebenarnya bukan tentang warna. Yang lebih utama, itu memberi isyarat awal bahawa akan berlaku satu peralihan naratif yang signifikan.

Kasut itu cuma alat, bukan matlamat. Mesej yang mahu disampaikan: apa yang Natasya di Kuala Lumpur inginkan, sama penting dengan apa yang Sapok di Pensiangan mahukan.

Malang sekali, ramai yang tidak nampak pembaharuan tersirat ini. Yang didendang dengan kuat. Hanya sepatu sekolah hitam putih. Padahal itu cuma simbol anjakan mentaliti.

Itu bukan paradigma teras yang mewakili naratif pendidikan terkini. Yang benar-benar membina tunjang naratif itu adalah NILAI: yang dipacu cinta dan keadilan inklusif.

Kenapa agaknya semua citra penting 'Naratif Pendidikan Baharu' ini digelapkan yang suka-suka diulang tubi hanyalah warna kasut, spekulasi khat dan hal-hal remeh yang sewaktu.

Mungkin ini sengaja dilakukan oleh kaum kuasawan pendidikan (baca: the so-called socioeconomic bourgeois) pada era yang lalu.

Mereka mahu kekal dominan sebagai penentu naratif, lalu mengalih perhatian majoriti kepada hal-hal negatif. Mungkin mereka fikir, dengan tekanan begini, mereka boleh mendapat kembali status quo elitis – yang selama ini merajalela sebagai kuasa penentu.

* Profesor Madya Dr Ramzah Dambul ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!